webnovel

Kekejaman (Bahagian 2)

Editor: EndlessFantasy Translation

"Linley, kamu rupanya! Baguslah!" Kedengaran satu suara ceria dari seorang lelaki kurus yang berlari anak menghampiri mereka. Remaja ini ialah pahlawan kurus yang ditemui Linley semasa dalam perjalanan menuju ke Banjaran Gunung Makhluk Ajaib tempoh hari. Dua lagi yang ditemuinya ialah rakan sekelasnya, Delsarte dan lelaki bertubuh sasa, Kava, telah pun mati.

Pada masa itu, mereka telah berhadapan dengan ahli sihir pemanah unsur angin dan Linley telah menggunakan mantera 'Jajaran Lembing Tanah'. Matt, pahlawan kurus tahap lima itu telah menggunakan peluang itu untuk melarikan diri. Linley tidak kisah pun dia melarikan diri. Lagi pun, dia dan Matt tidak kenal rapat.

Semasa mereka bertiga bertembung, sejujurnya, Linley hanya berasa mesra dengan kawan sekelasnya, Delsarte. Lelaki bertubuh besar, Kava, juga menarik perhatian Linley. Tetapi Linley tidak punya sebarang perasaan istimewa terhadap Matt.

"Oh, Matt rupanya. Saya tak sangka selepas sebulan, kita akan berjumpa lagi dalam Banjaran Gunung Makhluk Ajaib," kata Linley dengan tenang.

Matt kelihatan begitu teruja. "Ini perkara bagus. Sepanjang bulan ini saja, sudah beberapa kali saya hampir ditewaskan makhluk ajaib di sini. Nasib baik, tuah saya tidak terlalu teruk. Wah, itu Babi Perang Mengerikan, bukan? Linley, kamu mampu bunuh seekor Babi Perang Mengerikan? Kamu memang hebat!"

Linley tersenyum.

"Saya lapar. Saya dengar daging kedua-dua Babi Perang Mengerikan dan Lembu Besi Penghisap Darah sangat berperisa dan mempunyai tekstur kenyal yang sedap. Saya belum makan tengah hari lagi. Kamu tak kisah berkongsi sedikit daging Babi Perang dengan saya, bukan?" gurau Matt.

Saiz Babi Perang Mengerikan itu sangat besar, dengan berat bangkai mencecah beberapa ratus kilogram. Itu sudah memadai untuk menjamu lebih daripada sepuluh orang.

"Jemputlah." Linley mengeluarkan pisaunya dan mula memotong Babi Perang itu kepada beberapa bahagian.

"Linley, tak perlu susahkan diri kamu. Bangkai Babi Perang Mengerikan ini sebahagian daripada habuan pertempuran kamu. Takkan saya nak biar kamu juga yang memotongnya? Biar saya yang buat. Kebolehan memanggang saya juga boleh tahan hebat." Matt terus menghampiri bangkai Babi Perang itu dan mengeluarkan pisau dari sisinya.

Matt mula memotong dengan mahir bangkai Babi Perang itu walaupun hanya memotong keempat-empat kaki, lidah dan ekornya. Kemudian, dia membersihkan semua bahagian itu di mata air berdekatan.

'Bos, dia nampak agak berkebolehan. Dia nampak sama hebat dengan Bos dalam aspek ni,' kata Bebe, Si Tikus Bebayang Kecil secara mental kepada Linley sambil melompat ke atas bahunya.

Linley tidak boleh menahan diri daripada mengeluh lega setelah menoleh kepada Bebe di atas bahunya. Apabila orang lain melihat tikus kecil berwarna hitam ini, mereka mungkin menyangka ia hanyalah Tikus Bebayang kecil biasa yang tidak berbahaya. Tapi sebenarnya…

Linley masih ingat adegan mengerikan apabila Bebe yang sedang marah, membunuh pembunuh upahan gelap dan juga gadis muda yang 'baik hati' itu.

'Tak boleh nilai orang dari luaran dia. Sama juga dengan makhluk ajaib.' Linley mengeluh pada dirinya sendiri.

Matt terus mengeluarkan peralatan untuk memanggang, bersama garam memasak dan perasa dari dalam begnya. "Linley, kaki Babi Perang ini pasti sangat sedap. Lidahnya yang lembut dan harum juga pasti sama sedap. Rasa ekor dari Babi Perang juga boleh tahan lazat."

Sambil dia bercakap, Matt telah memotong kedua-dua ekor dan lidah itu kepada beberapa bahagian. Linley melihat Matt menggunakan batu api untuk menghidupkan api, dan tidak menawarkan sebarang bantuan walaupun dia mempunyai daya sihir unsur api. Dia memerhati Matt memanggang setiap bahagian dengan cepat.

Selepas beberapa lama.

"Sudah hampir masak. Cuba rasa." Matt dengan bersungguh menghulurkan daging kaki Babi Perang yang besar kepada Linley.

Akan tetapi, Linley memusing-musing daging Babi Perang itu dan menawarkan kepada Bebe. Bebe terus menerima daging itu dengan gembira dan mula makan dengan lahap. Kaki Babi Perang ini mungkin tiga hingga empat kali lebih besar dari Bebe, tapi dalam masa yang singkat telah dijilat licin oleh Tikus Bebayang kecil itu.

Mulut Matt ternganga luas selepas melihat adegan ini.

"Ia memang makhluk ajaib. Tikus Bebayang hitam yang kecil ini pun mampu makan sebanyak itu," keluh Matt sambil menawarkan sekeping lidah Babi Perang panggang kepada Linley. "Linley cuba rasa kepakaran saya."

Linley tersenyum sambil menolak. "Tak perlu. Saya tak biasa makan lidah. Daging dari kaki sudah memadai." Linley mengambil sebelah lagi kaki dan mula makan tanpa segan silu. Matt ketawa di sisinya. "Kalau begitu, saya tak akan paksa kamu. Jika kamu tak mahu, saya yang akan makan. Haha."

Setelah Linley menghabiskan kaki Babi Perang itu, Matt masih tidak menjamah walaupun secubit.

"Kamu dah kenyang? Haha, tak apalah. Saya sudah separuh kenyang. Saya akan makan kaki Babi Perang ni bila saya lapar nanti." Matt mengeluarkan kain minyak dari beg galasnya dan membalut kaki Babi Perang itu dengannya. Kemudian, dia menyimpan bungkusan itu ke dalam beg galas.

Linley menoleh kepada Matt.

Nampaknya Matt mahu meneruskan perjalanan bersama dengannya.

"Matt, saya tak kisah berlatih seorang diri dalam Banjaran Gunung Makhluk Ajaib ni. Biar kita berpisah di sini." kata Linley, tidak berselindung.

Matt terus berkerut. "Linley, tempat ini sangat bahaya. Lebih selamat jika kita berjalan bersama. Jujurnya, saya sangat takut dengan setiap pertempuran yang saya lalui sepanjang bulan lepas. Saya juga tak boleh tidur lena."

"Ikut suka kamu."

Linley tidak banyak soal. Dia segera menuju lebih jauh ke dalam gunung, sementara Matt yang menurut di belakang tersenyum. Tetapi apabila pandangannya jatuh ke beg galas yang Linley pikul, cahaya jahat terpancar dari matanya.

'Beg galas ini lain dari yang Linley pikul sebulan lalu. Dan ia nampak lebih penuh.' Matt menyeringai pada dirinya sendiri, tapi dia masih kelihatan tersenyum mesra. Matt tidak seperti Linley. Sebelum dia masuk ke gunung ini, dia telah pun berlatih di tempat lain beberapa kali.

Matt melajukan langkahnya. Dia berkata kepada Linley sambil tersenyum, "Linley, kamu memang baik. Saya rasa lebih selamat bila berjalan dengan kamu. Lagipun, dua orang bersama lebih kuat dari dua orang yang berpecah. Waktu malam, kita boleh bergilir-gilir tidur. Kita berdua tak perlu bersengkang mata berjaga sepanjang malam."

Linley mendiamkan diri. Pandangannya ditumpu pada kawasan persekitaran, memerhati penuh waspada akan kehadiran mana-mana makhluk ajaib di dalam gunung ini.

Mereka perlahan-lahan menuju ke arah utara kerana Linley tidak berani masuk lebih jauh ke arah timur. Jika mereka ke arah timur, mereka akan masuk ke bahagian bahaya Banjaran Gunung Makhluk Ajaib. Di kawasan ini, buat ketika itu Linley hanya akan terserempak dengan makhluk ajaib tahap lima atau enam.

Sepanjang masa itu, Matt hanya membuntuti dia dari belakang dan kelihatan begitu gembira.

Dua hari kemudian.

Hari sudah larut malam dan dunia berada dalam kegelapan. Linley dan Matt terus berjalan ke hadapan dalam satu barisan.

"Linley, kamu tak rasa sudah tiba masanya kita balik? Secara jujur, sudah cukup masa yang kita habiskan dalam Banjaran Gunung Makhluk Ajaib ni," kata Matt perlahan sambil mengikuti jejak Linley.

Linley hanya menggeleng kepalanya dengan tenang, tidak membuat sebarang bunyi.

Matt berasa sedikit berang. 'Setiap malam budak Linley ini sangat berwaspada. Dia tak bagi peluang langsung pada aku.' Matt tidak yakin dia ada mampu membunuh Linley jika berseorangan. Lagi pun, berupaya untuk hidup sehingga ke hari ini ialah bukti kebolehan Linley.

"Eh?" Linley menyedari sesuatu yang luar biasa. Dia menoleh ke belakang dan merenung satu kawasan belukar tidak jauh dari situ. Di celah-celah kawasan belukar itu, satu bayang-bayang samar sedang bersembunyi dan menunggu.

Matt melihat Linley memalingkan kepalanya. Linley kini membelakangkan Matt. Perasaan penuh tamak berbaur teruja tampak jelas di mata Matt. Matt kemudian dengan tangkas mengeluarkan pisau belati dan tanpa teragak-agak menikam belakang Linley…

Linley tiba-tiba berpaling dan menerkam pergelangan tangan kanan Matt yang sedang memegang pisau belati itu. Pada masa yang sama, dia merenung dingin kepada Matt. Suaranya lebih dingin apabila bertanya, "Apa kamu nak buat?"

"Kau!" Matt tergamam. Dia tidak sangka serangan hendapnya telah terbongkar dan telah dihadang dengan jayanya.

Matt melemparkan satu senyuman sinis kepada Linley. "Apa kau fikir aku nak buat? Oh ahli sihir genius, biar aku beritahu kau… Aku akan bunuh kau!" Matt sangat yakin dengan dirinya sendiri. Mereka berdua berada hampir dengan satu sama lain, mana mungkin pahlawan tahap lima seperti dia tidak mampu membunuh seorang ahli sihir tahap lima?

Matt tiba-tiba menambah kekuatan pada tangan kanannya dan tubuhnya mula membara dengan Qi-tempur, cuba melepaskan diri daripada genggaman Linley.

"Mati!" laung Matt sambil cuba menikam Linley sekali lagi dengan pisau belatinya.

*Rawr*

Kedengaran satu bunyi yang menggerunkan. "Apa?!" Matt yang mendengar bunyi itu tidak boleh menahan diri daripada menggigil. Kemudian, dia nampak satu kelibat hitam yang sangat kecil muncul di hadapannya.

"Apa… Apa ni?" Matt boleh mengagak bayangan hitam itu sebenarnya adalah Si Tikus Bebayang Kecil, Bebe, yang sentiasa berada di atas bahu Linley. Tikus Bebayang itu membuka mulutnya dengan luas, menampakkan barisan gigi tajamnya yang menakutkan dan terus menggigit muka Matt.

"Tidaaaak!"

Matt serta-merta mengundurkan diri dengan cepat sambil menarik kepalanya menjauhi Tikus Bebayang itu.

*Kerap-kerup*

Tikus Bebayang kecil itu lebih pantas daripada jangkaan Matt. Mustahil bagi Matt untuk mengelak. Tikus Bebayang kecil itu menjulurkan tangan kanannya sambil menghayun kuku yang tajam seperti pisau ke kepala Matt. Dengan sekali hayun, separuh daripada leher Matt terpisah dari tubuhnya, darah terpancut seperti air terjun.

"Urk… Graaah…" Memegang saki-baki lehernya, mata Matt terbeliak seperti seekor lembu. Matanya yang tidak percaya dan penuh dengan perasaan takut merenung tepat ke arah Tikus Bebayang kecil itu. 'Tikus Bebayang? Adakah ini Tikus Bebayang?'

Matt jatuh menemui mati. Biarpun nyawanya berada di hujung tanduk, Matt masih lagi gerun dan tidak percaya. Dia sudah lama bersedia untuk bertindak, tapi dia tidak pernah mengambil kira Tikus Bebayang itu ke dalam rancangannya.

Tikus Bebayang yang berwarna gelap ialah Tikus Bebayang yang paling lemah.

Tapi pada saat kematiannya, baru Matt sedar yang Tikus Bebayang kecil yang comel itu sebenarnya satu raksasa yang menakutkan.

*Gedebuk*

Tangan Matt yang memegang lehernya jatuh ke sisi, diikuti dengan tubuhnya yang terjelepuk mencium tanah, tidak bernyawa. Darah merah membasahi tubuh dan jatuh menitik ke tanah.

Next chapter