webnovel

Bahaya (Bahagian 1)

Editor: EndlessFantasy Translation

'Whew. Akhirnya mereka pergi.' Linley akhirnya melepaskan nafas panjang.

Linley sedar bahawa dia kuasa kepahlawannya cuma tahap keempat. Berjuang dalam pertempuran jarak dekat dengan sekawanan Serigala Angin tahap kelima sama seperti membunuh diri. Dia hanya bergantung harap kepada sihir untuk selamat. Namun begitu, jika bukan disebabkan Linley mampu bergerak dengan pantas, dia mungkin tidak berpeluang untuk membaca mantera sihir. Mujurlah pergerakan dia agak pantas, jadi dia berjaya melaksanakannya.

'Jika ahli sihir tahap keenam yang menghadapi makhluk itu, dia tak semestinya mampu bertindak lebih baik daripada aku. Dari segi kepantasan, ahli sihir tahap enam tak akan dapat melarikan diri daripada dikejar Serigala Angin. Apabila dikepung dan diserang oleh sekawanan Serigala Angin, dia mungkin langsung tak berpeluang untuk membaca sebarang mantera sihir.' Linley berasa lebih yakin akan keputusannya untuk tidak berhenti melakukan latihan fizikal merupakan keputusan yang tepat.

Linley melirik ke arah Cincin Naga Pusar di tangan kirinya. Sejak dia menginjak dewasa, dia sudah mula memakai Cincin Naga Pusar itu di jarinya.

'Nasib baik juga aku ada Cincin Naga Pusar ini! Kalau tak, mustahil aku boleh menggunakan mantera tahap kelima sebanyak ini.'

Bagi ahli sihir tahap lima yang lain, selepas menggunakan dua mantera tahap kelima, daya sihir mereka akan habis. Situasi Linley berbeza. Dia baru sahaja menggunakan enam mantera tahap lima iaitu tiga mantera 'Batu Berkecai', satu mantera 'Medan Supergraviti', satu mantera 'Pengawal Bumi' dan satu mantera 'Jajaran Lembing Tanah'.

Apakah puncanya? Cincin Naga Pusar.

Suatu ketika dahulu, Doehring Cowart terjumpa cincin ini secara tidak sengaja. Pernah sekali, semasa Doehring Cowart membaca mantera, dia terkejut apabila mendapati mantera yang dilaksanakan melalui Cincin Naga Pusar hanya memerlukan satu perenam daripada daya sihir dan tenaga spiritual untuk mendapatkan hasil yang sama.

Jelas sekali, melalui Cincin Naga Pusar ini, pemiliknya mampu mengesan dan memanipulasi intipati unsur. Tambahan pula, ia tidak memerlukan tenaga spiritual dan daya sihir yang banyak.

Satu perenam? Apakah maksudnya?

Ahli sihir tahap Dewa hanya berupaya menggunakan mantera 'Pembinasaan Ribut Kencang' sekali pada satu-satu masa. Akan tetapi, dengan bantuan Cincin Naga Pusar, dia boleh menggunakan mantera itu sebanyak enam kali! Khazanah yang sangat berkuasa itu menyebabkan Doehring Cowart sangat teruja. Dia menganggap penemuannya ini sebagai satu rahmat daripada alam semulajadi. Oleh sebab itulah dia menamakan cincin itu Cincin Alam.

Khazanah Agung, Cincin Alam.

Itulah gelaran yang diberikan oleh Doehring Cowart kepada cincin ini. Menurut beliau, walaupun benua Yulan mempunyai beberapa khazanah yang sangat berkuasa yang boleh membantu seseorang ahli sihir untuk melaksanakan mantera sihir, tetapi tiada satu pun yang mampu memberi kesan yang sama seperti Cincin Alam.

Tetapi selepas menemui Cincin Alam, semasa menggunakannya ketika latihan, Linley menemui sesuatu.

'Bukan saja sihir unsur bumi! Sihir unsur angin dan sihir unsur api aku yang seciput ini, apabila disalurkan melalui Cincin Naga Pusar, hanya memerlukan satu perenam intipati spiritual dan daya sihir saja.' Semasa melihat cincin itu, Linley berasa semakin gembira.

Doehring Cowart memilih waktu itu untuk muncul di sebelah Linley.

"Jangan melihatnya. Semasa zaman Atuk, selepas mendapat Cincin Naga Pusar ini, Atuk tak pernah memberitahu sesiapa pun tentangnya. Jika orang lain mendapat tahu tentang cincin ini, besar kemungkinan penempur tahap Dewa akan datang dan merampasnya daripada Atuk. Sungguhpun begitu, Atuk harus akui, Atuk sendiri tak sangka cincin ini juga boleh membantu pengguna unsur sihir api dan juga angin." Doehring Cowart mengeluh.

Linley mengangguk. 'Selepas ini, saya pun tak berani mendedahkan rahsia ini.' Linley tahu betapa bernilainya cincin ini. Jika rahsia ini terbongkar, besar kemungkinan dia akan dikerat-kerat oleh penempur tahap Dewa.

'Bos, kamu sudah selesai ke?' Tikus Bebayang kecil, Bebe memilih untuk bersuara pada masa ini. Ia sedang berdiri di kawasan berumput tidak jauh dari situ. Bebe tidak menyertai pertempuran yang berlaku sebentar tadi. Sebaliknya, ia hanya memerhati dari jauh.

Linley senyum.

"Aduh, sakitnya." Linley melihat luka di dadanya dan pakaiannya yang terkoyak serta dibasahi darah. Dia kemudian mula membalutnya dan menggunakan intipati unsur untuk menutup luka tersebut.

Bebe juga merenung luka Linley, kebimbangan.

'Bos, lain kali, jika perkara sebegini berlaku lagi, saya akan masuk campur.' Bebe tiba-tiba berkata secara mental dengan Linley.

"Tak perlu, kecuali kamu yakin saya tak mampu melawan dan pasti akan mati. Pada ketika itu, barulah kamu boleh bertindak. Jika tidak… apalah gunanya saya datang ke sini untuk berlatih?' Suara Linley tegas dan tidak berganjak. Bebe tidak lagi berani bersuara. Sudah lama Bebe ingin terlibat dalam pertarungan, tetapi Linley tidak pernah membenarkannya.

Pada waktu itu, bersembunyi di celah-celah rumput tiga puluh meter daripada Linley, satu bayang-bayang hitam bersedia untuk menyerang hendap.

'Semasa pertarungan sebentar tadi, daripada awal sehingga akhir dia menggunakan enam mantera tahap kelima. Walaupun dia hanya menggunakan mantera tahap kelima, disebabkan dia berupaya melaksanakannya sebanyak enam kali, besar kemungkinan dia ialah ahli sihir tahap keenam. Kehandalan tempurnya pula ialah pahlawan tahap keempat. Memandangkan pergerakannya dibantu sihir unsur angin, besar kemungkinan dia juga memiliki daya tarikan unsur angin. Kesimpulannya, dia merupakan ahli sihir dua unsur tahap enam dan pahlawan tahap empat.'

Bayang-bayang hitam di kejauhan itu sedang membuat perkiraan.

'Aku ada 90% kebarangkalian untuk berjaya membunuhnya. Aku boleh bertindak sekarang.' Bayang-bayang hitam itu sudah membuat keputusannya.

Linley baru sahaja selesai mengharungi sebuah pertempuran besar. Jadi dia dalam keadaan tenang. Bayang-bayang hitam itu masih tidak berganjak. Dalam kepekatan malam, dia kelihatan seperti bayang-bayang lain. Si Tikus Bebayang kecil, Bebe sendiri tidak menyedari kehadirannya, apatah lagi Linley.

Lapisan cahaya intipati unsur di atas tanah telah hilang.

Medan Supergraviti sudah lupus!

'Sekarang!' Secara tiba-tiba, bayang-bayang hitam yang menunggu masa untuk menyerang hendap diam-diam terbang keluar. Bagaikan bayang-bayang ilusi, dia terbang ke arah Linley dengan kepantasan yang menakjubkan.

Linley tiba-tiba berasa panik. Dia segera mengelak dengan pantas sambil berpaling untuk melihat ke belakangnya. Dia nampak sebuah bayang-bayang hitam mahu menikamnya dengan pisau tajam. Pisau itu membiaskan cahaya dingin yang membuatkan jantung Linley bertukar menjadi ais. Mata bersinar dingin, tanpa perasaan dan membunuh itu membuatkan jantung Linley berdegup kencang.

'Pantasnya!' Linley tergesa-gesa berundur. Akan tetapi, jelas sekali bayang-bayang hitam itu lebih pantas. Pisau hitam yang bergerak pantas itu hampir mengenai matanya.

*Clang*

Linley mengeluarkan pahat lurusnya untuk menahan serangan pisau pihak lawan. Pisau hitam pihak lawan bertembung dengan pahat lurusnya. Dengan bunyi retak, pahat lurusnya hancur. Beberapa serpihan pahat lurus mengelar wajah Linley, meninggalkan garis berdarah.

*Whooshh! Whoosh! Whooshh!*

Tujuh ke lapan Bilah Angin tiba-tiba muncul di sebelah Linley dan menyerang bayang-bayang hitam itu. Berdasarkan tahap kebolehan terkini Linley, dia berupaya membaca mantera Bilah Angin tanpa menyebutnya secara lisan. Kesemua tujuh ke lapan Bilah Angin itu mengelar bayang-bayang hitam itu. Namun begitu, apabila ia menyentuh cahaya hitam yang dipancarkan bayang-bayang tersebut, semuanya lenyap.

'Qi-tempur gaya sihir kegelapan!' Linley segera membuat kesimpulan.

Walaupun bilah-bilah angin Linely tidak berjaya menyekat bayang-bayang hitam itu, tetapi ia dapat mengalih perhatiannya buat seketika. Linley segera berpaling dan meluru ke hadapan ibarat anak panah yang dilepaskan dari busur. Malangnya, bayang-bayang hitam itu memiliki tindakan refleks yang pantas. Dia mengejar Linley dan melombol ke arahnya dengan kelajuan yang lebih tinggi.

Bersemuka dengan Linley di udara, bayang-bayang hitam itu sekali lagi menghunus pisaunya ke arah Linley, menyasarkan jantungnya. Ketika itu, di minda Linley terbayang imej lima mayat yang dilihatnya sebelum memasuki Banjaran Gunung Makhluk Ajaib. Kelima-limanya dibunuh dengan tikaman di dada.

"Mati!"

Bayang-bayang hitam itu sangat yakin. Pisaunya diselubungi cahaya hitam tiba di dada Linley. Di tengah-tengah udara, tiada tempat untuk Linley menyembunyikan diri. Satu-satunya pilihan yang dia ada ialah menyeru segera1 mantera pertahanan paling kukuh yang diketahuinya; Pelindung Bumi! Pelindung Bumi bersaiz kecil, hanya satu pertiga daripada saiz normal, tiba-tiba muncul di hadapan dada Linley.

*Hurmmph!*

Bayang-bayang hitam itu mencemuhnya. Pisau di tangannya lebih pantas menembusi perisai itu. Bagi seseorang yang memiliki kekuasaan seperti bayang-bayang hitam itu, Perisai Bumi bukanlah halangan.

Setelah mengecut daripada saiz asalnya, Pelindung Bumi sebenarnya mempunyai kebolehan pertahanan yang agak kukuh. Sungguhpun begitu, apabila berhadapan dengan serangan daripada pisau ini, ia hanya mampu memperlahankannya dan bukannya memberhentikannya. Dada Linley berasa sakit kerana hanya dalam beberapa saat, pisau itu berjaya menembusi Pelindung Buminya.

*Rawrrrr!*

Tempikan kuat dan menakutkan kedengaran apabila Bebe, si Tikus Bebayang kecil muncul secara tiba-tiba di sebelah pergelangan tangan bayang-bayang hitam itu. Mulut Tikus Bebayang itu cukup luas untuk membaham tangan manusia sementara gigi tajamnya pula mampu mengunyah apa sahaja. Bebe menggigit pergelangan tangan bayang-bayang hitam itu dengan kuat. Dengan erangan yang kuat, bayang-bayang hitam itu kehilangan tangannya.

Apa yang tinggal hanyalah separuh tangan yang masih menggenggam pisau yang menembusi Pelindung Bumi dan menusuk dada Linley.

Next chapter