webnovel

Rakan-rakan Bilik Asrama 1987 (Bahagian 2)

Editor: EndlessFantasy Translation

Kebanyakan pelajar Institut Ernst akan tinggal di institut selama beberapa dekad, jadi apabila tamat pengajian, rakan-rakan sebilik akan menjadi sangat rapat. Walaupun Yale, Reynolds, Linley dan George kelihatan lebih matang berbanding daripada rakan sebaya yang lain tetapi di dalam hati, mereka masih lagi kanak-kanak.

Selepas berbual seketika, keempat-empat mereka mulai rapat.

"Kawan-kawan, mari kita luangkan masa untuk mengenali kampus kita dengan lebih baik. Malam ini, saya akan belanja kamu semua makan! Haha." Yale menampar dadanya dan berkata dengan penuh semangat.

"Dia ada kad kristal ajaib. Jika tak mengambil kesempatan ke atasnya, kepada siapa lagi kita boleh melakukannya?" Reynolds ketawa.

George dan Linley kedua-duanya masih budak dan mereka segera tersengih nakal.

"Decit decit!" Ketika itu, Bebe, Tikus Bebayang kecil, tiba-tiba menjengah dari dalam baju Linley. Sebaik sahaja terjaga dan berasa sunyi, ia pun menjengah keluar kepalanya.

"Wah, benda apa tu?" Reynolds sangat terkejut hingga melompat.

"Bebe, kamu sudah bangun?" Linley ketawa sambil mengusap kepala kecil itu. Bebe memejamkan matanya kegembiraan kemudian membuka semula matanya dan mengintai ke arah Reynolds, Yale dan George. Hidung kecilnya mendengus tiga kali seolah-olah memandang rendah mereka bertiga.

"Makhluk ajaib, itu makhluk ajaib! Saya ada melihatnya di dalam buku." Yale tiba-tiba menjerit.

"Linley, kamu ada teman makhluk ajaib?" Reynolds dan George juga terkejut.

Mereka semua masih kanak-kanak. Mana mungkin mereka mampu menundukkan makhluk ajaib?

"Bebe ialah bayi makhluk ajaib. Saya hanya memberinya makan menyebabkan ia suka pada saya. Jadi saya memasuki pakatan pengikat jiwa bersamanya." Linley ketawa.

"Oh Tuhan, itu makhluk ajaib! Linley, kamu memang hebat. Saya bermimpi untuk punyai seekor sejak kecil lagi." Yale memandang Bebe, matanya bersinar. "Walaupun saya mempunyai akses kepada skrol formasi pengikat jiwa, tetapi saya tak mempunyai kebolehan untuk menundukkan makhluk ajaib."

Yale berkata dengan nada yang hiba.

"Kamu tak mampu menundukkan makhluk ajaib? Walaupun bayi?" Linley ketawa.

Yale menganggukkan kepalanya. "Saya masih belum mencapai ahli sihir tahap pertama. Berdasarkan kekuatan saya, saya mungkin boleh melatih makhluk ajaib tahap pertama atau kedua. Akan tetapi, apa yang saya boleh lakukan dengan makhluk selemah itu? Bayi makhluk ajaib tahap ketujuh atau kelapan pula sangat sukar untuk diperoleh. Tambahan pula, bayi makhluk ajaib itu lebih berkuasa daripada saya, walaupun masih bayi lagi."

Dalam diam, Linley bersetuju dengan Yale.

Tikus Bebayang kecil, Bebe juga memiliki kuasa sehebat makhluk ajaib tahap kelima. Ia jauh lebih kuat daripada Linley. Tetapi setelah bersama dengan Bebe selama setengah tahun, dia menyedari badan Bebe langsung tak membesar. Ini membingungkan Linley dan Doehring Cowart.

"Linley, nama Tikus Bebayang ini Bebe? Boleh kamu minta Bebe biar saya memeluknya?" Pandangan Reynolds terpaku ke arah Tikus Bebayang kecil itu.

"Bebe?"

Linley segera bertanya kepada Bebe menerusi rangkaian jiwa.

"Tak, tak boleh." Bebe juga boleh menyampaikan maksud ringkas kepada Linley melalui rangkaian jiwa mereka. Pada masa yang sama, Bebe menampakkan taringnya ke arah Reynolds. "Decit decit!" Bebe mendecit dengan kuat, jelas sekali ia sangat marah.

Reynolds memuncungkan bibirnya kecewa.

"Reynolds, mari saya beritahu kamu satu rahsia. Bebe sangat suka daging panggang. Lain kali, kamu boleh berikan ia itik panggang ataupun ayam panggang. Saya percaya ia tak akan menganggap kamu sebagai ancaman." Linley ketawa melihat mata Reynolds seakan-akan bercahaya.

"Boleh saja."

Reynolds tiba-tiba berkerut apabila dia mengalih pandang ke arah Yale. "Yale, jika saya kehabisan wang nanti, pinjamkan sedikit kepada saya, ya? Apabila Atuk Lomu datang, saya akan bayar kepada kamu."

"Tiada masalah." Yale berkata dengan niat yang baik.

"Saya pasti tiada seorang pun antara kita yang berpeluang melihat kawasan kampus, bukan? Mari kita bersiar-siar dan membiasakan diri dengan kawasan kampus?" George senyum sambil bercakap.

Antara mereka berempat, George yang paling ramah dan boleh diharap. Reynolds paling kebudak-budakan antara mereka berempat. Yale… jenis kaki perempuan. Linley pula, pada pandangan mereka bertiga, paling misteri.

Ahli sihir dua unsur, daya tarikan unsur yang luar biasa dan mempunyai makhluk ajaib sebagai peneman.

Dia memang seorang yang misteri.

Institut Ernst lama itu dipenuhi banyak bangunan berusia lebih seribu tahun. Di hadapan beberapa bangunan itu, terdapat pelekat pengenalan.

Yang paling muda antara mereka berusia lapan tahun dan paling tua berusia 10 tahun. Mereka menatap kagum nama-nama orang terkenal, terutamanya sejarah penempur tahap Dewa yang membuatkan jantung mereka berdetak kencang. Kesemua mereka mengimpikan untuk menjadi ahli sihir bertahap Dewa.

Tetapi suara di sebelah telinga Linley asyik menggumam. "Mereka cuma anak muda zaman baru yang memiliki masa depan yang cerah. Lelaki ini bercakap besar tentang membunuh Beruang Hitam Bertatu Violet? Penempur tahap Dewa yang hanya mampu membunuh makhluk ajaib tahap kesembilan dan bukan makhluk ajaib tahap Dewa cuma dianggap ahli sihir tahap Dewa baru."

Ramai graduan terkenal dari Institut Ernst diejek oleh Doehring Cowart kerana mereka tidak sepatutnya disebut.

Keempat-empat budak lelaki dalam bilik asrama 1987 termasuklah Tikus Bebayang kecil, Bebe berjalan-jalan mengelilingi kawasan kampus dan mula membiasakan diri pada peringkat asas. Pada sebelah malam, mereka berempat pergi ke sebuah hotel mewah di sebelah kawasan kediaman mereka dan pun menjamu selera. Tetapi tentulah mereka hanya meminum jus.

Keesokan harinya. 9 Februari. Pengajian bermula.

Hari ini tiada kelas. Kelas akan bermula pada 10 Februari. Pada 9 Februari, mereka hanya perlu mendengar pidato gesaan daripada pihak pengurusan supaya mereka bekerja keras. Sekumpulan kanak-kanak berusia enam hingga 12 tahun memenuhi auditorium. Mereka tidak kenal siapa yang berucap dan kebanyakan pelajar mula berangan. Apabila majlis selesai, semua pelajar sangat gembira untuk bersurai.

Selepas makan malam, mereka duduk di atas kerusi di dalam asrama dan mula berbincang tentang kelas mereka.

"Pengajian di sini sangat mudah. Hanya satu kelas setiap hari. Oh, ya. Linley ahli sihir dua unsur, jadi dia ada dua kelas." Yale mengeluh. "Tetapi belajar di Institut Ernst sangatlah santai. Jika kamu mahu menghadiri kelas, dipersilakan. Jika kamu tak mahu ke kelas, kamu boleh ponteng."

George tersenyum tenang. "Yale, jangan terlalu berpuas hati. Walaupun tiada syarat rasmi bagi pelajar, namun setiap tahun mereka akan mengadakan ujian kebolehan. Hanya jika ada kemajuan pada tahap kuasa kamu, barulah kamu dibenarkan untuk naik ke gred seterusnya. Jika kamu tak bekerja keras, adakah kamu merancang untuk tinggal di sini selama satu kurun? Lebih-lebih lagi, Institut Ernst mempunyai satu peraturan, jika seseorang pelajar tak menjadi ahli sihir tahap keenam dalam masa 60 tahun, dia akan dibuang, tiada pengecualian."

Oleh sebab dia membaca setiap peraturan Institut Ernst yang tertera di dalam paket pengenalan, Linley mengangguk dalam diam.

Walaupun sekolah ini kurang pengawasan dan membenarkan pelajar untuk langsung tidak menghadiri pengajian selama 60 tahun, tetapi sebaik sahaja tempoh 60 tahun berakhir, jika kamu tidak menjadi ahli sihir tahap keenam, kamu akan terus dibuang.

"Dibuang?" Yale termenung. "Jika saya dibuang, orang tua saya akan bunuh saya." Dibuang dari Institut Ernst akan menyebabkan reputasi seseorang tercemar. Tiada siapa yang sanggup menanggungnya. Tambahan pula, penerimaan masuk ke institusi ini bermakna mereka semua mempunyai bakat.

"Kelas akan bermula esok. Saya tertanya-tanya bagaimana cikgu di sini. Jika mereka tidak sehebat Atuk Lomu, sia-sia sahaja saya datang ke mari." Reynolds menggumam.

"Reynolds, Atuk Lomu kamu seorang ahli sihir?" Linley bertanya agak terkejut.

"Mestilah. Dalam perjalanan dari Empayar O'Brien ke Institut Ernst, Atuk Lomy sudah mula mengajar saya tentang sihir." Reynolds berkata dengan bangga.

Sepanjang perbualan Linley dan mereka bertiga, mereka berasa sangat teruja.

'Kelas unsur tanah tak terlalu penting. Dari segi pemahaman tentang unsur tanah, bagaimana mungkin guru dari Institut Ernst dapat menandingi Atuk Doehring? Kelas yang penting ialah kelas unsur angin. Agaknya bagaimana sihir angin yang sebenarnya?'

Hari sudah semakin gelap tetapi suara ketawa dan celoteh keempat-empat rakan dari bilik asrama 1987 masih lagi kedengaran.

Next chapter