webnovel

Kehendak Sang Perkasa (Bahagian 1)

Editor: EndlessFantasy Translation

Hanya selepas melihat naga Veloci, makhluk ajaib tahap kelapan bersama ahli sihir misteri itu berlalu pergi, barulah hati Hogg tenang.

"Pak Cik Hiri." Hogg menoleh ke arah pengurus rumah mereka, Hiri. "Pak Cik, segera arahkan beberapa orang mengutip emas yang sudah cair daripada timbunan abu itu. Kumpulan pengembara itu agak hebat. Tentunya mereka membawa banyak barangan berharga. Saya berharap barangan berharga mereka cukup untuk mengganti rugi semua kerosakan hari ini."

Hogg memandang ke seluruh kawasan dan melihat banyak rumah yang telah runtuh.

"Baik, Tuan," kata Hiri sambil menganggukkan kepalanya.

"Hillman." Hogg beralih memandang Hillman. Dia berkata sambil tersenyum, "Apa pendapat kamu?"

Hillman juga turut mengangguk. "Saya sangat takut apabila melihat naga Veloci, makhluk ajaib tahap ketujuh dan ahli sihir misteri itu. Saya tahu pekan kita tak mampu langsung untuk mempertahankan diri. Jika seorang ternama berpangkat tinggi seperti ahli sihir tahap kelapan tadi memutuskan untuk memusnahkan pekan kita, saya pasti tiada seorang pun yang akan mengecam apalagi menghukumnya.

Ahli sihir mempunyai kedudukan sosial yang sangat tinggi.

Malah seorang ahli sihir biasa memiliki status sosial yang sama dengan golongan bangsawan.

Inikan pula ahli sihir tahap kelapan? Jika dia berhadapan dengan raja sekalipun, dia tidak perlu melutut atau memberi penghormatan. Dia boleh bercakap sambil berdiri sahaja. Daripada contoh ini, kita mengerti betapa mulianya status seorang ahli sihir tahap kelapan.

"Betul. Maka kita patut meraikan tiada seorang pun penduduk pekan Wushan yang terkorban pada hari ini," Hogg berkata sambil ketawa.

"Ia patut diraikan," Hillman mengangguk sambil ketawa.

"Hillman, bawa beberapa orang untuk membantu Pak Cik Hiri. Bila sudah selesai, tolong uruskan masalah penduduk yang telah kehilangan rumah mereka," arah Hogg.

"Baik, Tuan Hogg." Hillman bersetuju.

Hogg melihat ke belakangnya kemudian bertanya Hillman dengan curiga, "Eh, ke mana Linley pergi? Dia ada di sini tadi."

"Entahlah. Saya tak perasan pula." Hillman menggelengkan kepalanya juga.

"Tuan, Tuan Muda Linley sudah pulang ke rumah." Hiri berkata dari tepi. "Tetapi semasa dia beredar tadi, dia nampak seperti dalam kebinggungan. Tidak tahu apa yang dia fikirkan."

Hogg hanya mengangguk.

Satu-satunya benda puak Bruch tidak pernah kurang ialah bilik. Semasa zaman kegemilangannya, beratus orang tinggal di situ. Kini populasinya lebih sedikit berbanding sebelum ini. Kanak-kanak berusia lapan tahun seperti Linley boleh memiliki bilik sendiri.

Di dalam bilik tidur Linley.

Linley sedang berlutut di atas katil, keningnya berkerut memikirkan sesuatu.

Kuasa Tarian Ular Api yang menggerunkan belayar di fikirannya berulang kali. Tujuh ekor ular api berserta bahang api yang dihasilkannya itu kerap bermain di mindanya. Ia juga membakar benda di sekelilingnya, termasuk pahlawan perkasa dan kedua ahli sihir kumpulan kecil pengembara tadi, menjadi abu dalam sekelip mata.

'Para ahli sihir sungguh berkuasa.'

Linley dapat merasakan keinginan yang meluap-luap di dalam hatinya. 'Walaupun aku merupakan ahli puak Pahlawan Berdarah Naga tetapi ketumpatan darah naga amat rendah dalam darah aku. Kenyataan mereka yang berdarah naga tak boleh menggunakan cara membina Qi-tempur lain ialah sesuatu yang akan menghalang aku daripada mengembangkan kemahiran kepahlawanan ke tahap maksima. Bolehkah agaknya aku menjadi seorang ahli sihir?'

Linley secara tiba-tiba berkeinginan untuk menjadi ahli sihir.

'Naga Veloci tadi juga sangat kuat. Kalaulah aku mempunyai naga tersebut…'

Linley mula teringat kembali kekuatan naga Veloci yang menakjubkan itu.

Libasan ekor bak belati miliknya pantas seperti kilat mampu menghancurkan batu yang ditujukan kepadanya. Malah memusnahkan rumah yang terkena libasannya. Tubuhnya yang sangat besar bagaikan senjata kepungan tentera akan guna di medan perang. Jika difikirkan ketebalan sisiknya sahaja, naga Veloci menjadi musuh yang sangat menakutkan apabila ia mara dengan pantas.

'Makhluk ajaib… Saya tertanya-tanya bagaimana seseorang memiliki makhluk ajaib.' Linley juga berkeinginan untuk mempunyai makhluk ajaibnya sendiri.

Entah mengapa, Linley tidak boleh melelapkan mata walaupun dia berbaring di atas katilnya. Dia asyik berkalih-kalih. Mindanya dipenuhi bayangan naga Veloci dan Tarian Ular Api yang dihasilkan ahli sihir misteri itu.

"Linley, apa yang tak kena?" Suara yang dikenalinya bertanya.

Tergesa-gesa Linley berdiri. Mendongak, dia menyedari suara itu milik Hogg, bapanya. Pada ketika itu, Hogg sedang tersenyum bangga melihat Linley.

"Ayah," sapa Linley dengan penuh hormat. Linley tiba-tiba berasa keliru. 'Kenapa Ayah tersenyum kepada aku? Apa maksud riak wajah Ayah?'

Hogg sering bersikap tegas dengan Linley dan jarang sekali tersenyum mesra ke arahnya. Riak wajahnya benar-benar menghairankan Linley.

"Boleh tahan, boleh tahan," Hogg berkata dengan penuh bangga sambil memandang Linley. "Kamu benar-benar keturunan Pahlawan Berdarah Naga puak kita. Kamu mempunyai ciri-ciri yang unggul. Jika seseorang yang berketurunan Pahlawan Berdarah Naga takut akan kematian, takut akan darah atau pembunuhan, dia akan memalukan puak kita."

Barulah Linley faham apabila mendengar kata-kata bapanya. Bapanya gembira dia tidak gentar melihat naga Veloci melahap Luke hidup-hidup.

Linley yang terkejut lalu berkata, "Ayah nampak semuanya?"

"Naga Veloci melakukan kekacauan di pekan kita. Tentulah Ayah nampak. Sebaik sahaja naga Veloci tiba di pekan Wushan, Ayah terus keluar untuk melihatnya tetapi Ayah berada di sebelah lain. Ayah dapat melihat dengan jelas riak wajah kamu dan Hillman," jawab Hogg.

Linley tersengih.

Ketika itu, walaupun pada mulanya dia panik, dia kemudiannya hanya merasakan darahnya meluap-luap dan mendidih dahagakan pertumpahan darah. Linley pada ketika itu tertanya-tanya jika perasaan itu ada kaitan dengan darah naga yang mengalir dalam tubuhnya.

Hogg ketawa. "Linley, adakah kejadian sebentar tadi begitu membuat kamu kagum sehingga kamu terlupa untuk makan malam?"

"Makan malam?" Linley terkejut.

* Kriuukkk * Perut Linley berkeroncong seakan-akan bersetuju. Linley baru tersedar latihan pada petang tadi tidak sempat dimulakan sebelum kedatangan naga Veloci dan ahli sihir misteri itu.

Sudah tentulah masa makan malam telah tiba.

Tetapi minda Linley terlalu sibuk memikirkan Tarian Ular Api dan juga naga Veloci.

"Ayah, saya ada pertanyaan. Bolehkah ahli puak Pahlawan Berdarah Naga menjadi ahli sihir?" Tanpa sedar, tangan Linley menggenggam cadar katilnya. Dia merenung ke arah bapanya.

Hogg terkejut tetapi sebentar cuma. Dia memahami pertanyaan anaknya itu. Nampaknya anaknya ingin menjadi seorang ahli sihir.

"Boleh jadi." Hogg mengangguk.

Linley tidak dapat menyembunyikan kegembiraan yang terbit di wajahnya.

Hogg melambaikan tangannya, meminta Linley supaya bertenang sebelum berkata, "Linley, dalam puak Pahlawan Berdarah Naga ini hanya ada dua orang yang menjadi ahli sihir. Linley, kamu patut tahu apa yang paling penting untuk menjadi seorang ahli sihir ialah bakat semula jadi. Kebiasaannya, hanya seorang dalam sepuluh ribu orang yang mempunyai bakat untuk menjadi ahli sihir. Satu dalam sepuluh ribu! Peluang itu sangat rendah. Jadi lebih baik kamu tidak meletakkan harapan yang tinggi."

Linley menggelengkan kepalanya.

"Ayah, selagi ada harapan saya akan bertahan." Wajah muram terbit di wajah Linley.

Hogg melihat ekspresi serius pada wajah anaknya yang berusia lapan tahun itu. Seorang kanak-kanak yang mempamerkan ekspresi sedemikian merupakan sesuatu yang menggelikan hati. Tetapi Hogg sedikit pun tidak ketawa.

Hogg berfikir buat seketika kemudian berkata, "Linley, pada musim luruh setiap tahun, apabila kemasukan tentera bermula di ibu pejabat kerajaan Fenlai, terdapat ujian bagi pengambilan pelajar ahli sihir. Jika kamu ingin pergi, apabila musim luruh tiba, kamu pergilah menjalani ujian tersebut."

"Hujung musim luruh? Bukankah itu hanya setengah tahun lagi?" Mata Linley penuh dengan keterujaan.

Next chapter