webnovel

Makhluk Ajaib - Naga Veloci! (Bahagian 1)

Editor: EndlessFantasy Translation

Makhluk gergasi menggegar bumi akhirnya memunculkan diri.

Sebaik saja melihat makhluk gergasi itu, Linley dan kanak-kanak lain menggigil ketakutan. Hillman, Roger dan Lorry dengan pantas bertindak. Mereka berdiri di hadapan kumpulan kanak-kanak dan memerhatikan makhluk bersaiz besar tersebut.

"Makhluk Ajaib tahap ketujuh. Seekor Naga Veloci!" Muka Hillman berkerut. Kaki Lorry dan Roger yang berdiri di sebelahnya turut berasa longlai.

'Sangat be, be, besar! Beginikah rupa makhluk ajaib yang terkenal itu?' Linley turut tergamam.

Sejak lahir, makhluk paling besar yang pernah dilihat Linley ialah kuda perang yang sekali-sekala melalui pekan Wushan. Tinggi kuda-kuda besar dan gagah tersebut 1.8 meter. Namun jika dibandingkan dengan makhluk gergasi itu, ibarat bayi di hadapan seekor gergasi. Perbezaan yang sangat mengejutkan.

Makhluk itu tentu saja mencapai ketinggian dua tingkat bangunan dan sekurang-kurangnya dua puluh hingga tiga puluh meter panjangnya.

Makhluk ajaib - Naga Veloci!

Seluruh tubuh Naga Veloci dipenuhi dengan sisik-sisik besar merah menyala. Setiap sisik membiaskan cahaya emas dingin. Rupa sisik-sisiknya saja sudah memeranjatkan dan menakutkan. Kaki Naga Veloci yang panjang dan dilitupi empat sisik lebih menggerunkan dek ketebalannya. Pelukan dua orang lelaki dewasa belum tentu dapat melingkarinya. Seluruh tubuh Naga Veloci berwarna merah menyala melainkan kukunya yang berwarna hitam.

Ekor Naga Veloci yang dilitupi sisik melebihi separuh daripada panjang tubuhnya. Bagaikan cemeti, ekornya melibas-libas ke sekeliling. Setiap libasan ke bumi, dentuman bergema dari dalam tanah.

"Grrr…"

Apabila ia menggeram, wap putih keluar dari lubang hidung Naga Veloci membawa bau tajam sulfur. Anehnya, mata bak berlian hampir sebesar lantera miliknya itu turut berwarna merah. Kepala Naga Veloci yang sangat besar itu berpaling menghadap Linley dan kanak-kanak lain. Pandangannya yang dingin menggerunkan mereka membuat mereka terpempan.

"Tchhh. Tchhh." Mulut Naga Veloci menyeringai menampakkan dua baris gigi bersaiz besar dan setajam gergaji. Setiap gigi putih gading mengecutkan hati setiap yang memandang. Tiada seorang pun yang berani mempersoalkan ketajamannya.

Jantung Linley bagaikan terhenti. Suasana sekeliling sepi.

'Sangat menakutkan. Wujudkah manusia yang mampu mengalahkan makhluk seperti itu?' Tubuh Linley kaku kerana ketakutan.

Melihat rupa luaran makhluk ajaib gergasi itu, Linley fikir tiada siapa yang dapat mengalahkannya. Linley yakin hanya satu libasan ekor gergasi makhluk tersebut, besar kemungkinan rumah paling kukuh di pekan Wushan akan hancur.

"Adakah ini pekan Wushan?" Satu suara dingin tiba-tiba kedengaran dari atas Naga Veloci.

Semua kanak-kanak yang ketakutan itu mendongak kehairanan. Di atas Naga Veloci yang besar dan bersisik itu, seorang lelaki misteri berjubah violet duduk bersimpuh. Naga Veloci itu terlalu besar dan ruang belakangnya sangat lebar. Ia menyediakan ruang yang luas untuk seseorang berdiri, duduk serta berguling.

"Benar, Tuan Ahli Sihir. Ini pekan Wushan. Ada apa yang boleh kami bantu, Tuan Ahli Sihir?" Hillman bersuara.

Gema suara Hillman menyedarkan orang sekeliling daripada ketakutan yang mengkakukan. Walaupun begitu, semua yang hadir di situ, termasuk Lorry dan Roger, tetap diam tidak berkutik. Mereka berdiri di belakang Hillman dalam kengerian memandang Naga Veloci dan ahli sihir misteri berjubah violet.

"Pekan Wushan. Nampaknya saya tak sesat," bisik lelaki berjubah violet.

Lelaki misteri berjubah violet tidak lagi bersuara selepas itu. Selepas merenung tajam Linley dan mereka yang lain, Naga Veloci meneruskan perjalanannya. Dua garis wap dilepaskan daripada hidungnya. Apabila menyedari Naga Veloci menuju kawasan pekan, riak muka Hillman berubah.

"Kamu semua tunggu di sini." Selepas memberi arahan, Hillman dengan pantas mengejar Naga Veloci.

"Pak Cik Lorry, makhluk apa itu? Adakah ia makhluk ajaib?" Linley yang pertama bersuara.

Lorry berdeham, ketakutan masih jelas di matanya. Dia tetap mengangguk. "Benar dan ia sangat berkuasa. Ia makhluk ajaib tahap ketujuh. Seekor Naga Veloci!"

"Naga Veloci?"

Linley mencatat nama itu di minda agar kekal selamanya.

Tubuh Naga Veloci yang besar, sisiknya tebal, cakarnya yang tajam, dan ekor yang kuat memberi impak yang menggerunkan. Linley percaya seekor Naga Veloci mampu memusnahkan seluruh pekan Wushan.

"Sisik Naga Veloci ialah perisai yang ampuh. Kuasa serangannya juga mengerikan. Tambahan pula lagi, ia sangat cekap menggunakan sihir api yang membinasakan!" Hati Lorry dipenuhi ketakutan sepanjang dia memberi penjelasan kepada Linley dan yang lain. "Jika berhadapan dengan makhluk ajaib gergasi seperti Naga Veloci, besar kemungkinan seluruh platun dengan seribu tentera akan binasa melainkan mereka memiliki pahlawan tahap keenam atau ketujuh dan ahli sihir yang bergabung tenaga menembusi sisiknya."

Hati Linley diramas ketakutan.

Seluruh platun dengan seribu tentera akan binasa?

"Perkara yang paling menakutkan bukanlah Naga Veloci itu… tetapi lelaki misteri berjubah violet." Lorry menarik dua nafas untuk menenangkan hatinya yang gentar.

Roger yang berdiri di sisinya turut mengangguk. "Benar. Untuk menundukkan seekor Naga Veloci, kamu perlu memaksa ia menyerah diri sebagai hamba. Dalam kata lain… Lelaki berjubah violet itu berkali ganda lebih berkuasa daripada Naga Veloci. Berdasarkan pakaiannya, dia tentu seorang ahli sihir."

"Sekurang-kurangnya, dia seorang ahli sihir tahap ketujuh. Mungkin juga ahli sihir tahap kelapan!" Roger tidak dapat menahan tangannya daripada menggigil. "Saya tak sangka individu penting sepertinya akan datang ke pekan kita."

Linley turut merasai ketakutkan Roger dan Lorry.

Naga Veloci, makhluk ajaib tahap ketujuh dan ahli sihir misteri yang mampu menundukkannya? Ia sudah cukup untuk mencetuskan huru-hara.

'Ahli sihir itu lebih kuat daripada Naga Veloci?' Sukar untuk Linley mempercayainya.

Tubuh gergasi Naga Veloci berserta ketebalan sisik, ketajaman cakar, dan kekuatan ekornya cukup untuk mengalahkan ahli sihir yang hanyalah manusia.

"Aum!"

Tiba-tiba, kedengaran bunyi ngauman dari tengah pekan.

"Alamak!" Lorry dan Roger terpempan. Linley dan kanak-kanak lain turut berasa bimbang. Adakah bunyi ngauman Naga Veloci itu disebabkan Pak Cik Hillman atau oleh pekan Wushan sendiri? Tiada siapa tahu.

"Kamu semua tunggu di sini." Lorry dan Roger, walaupun ketakutan, tetap berkejar ke tengah pekan.

Linley mengetap giginya. "Pak Cik Hillman!" Linley juga risau akan Pak Cik Hillman dan penduduk pekan Wushan. Dia turut berlari menuju arah yang sama. Pada waktu itu, Lorry dan Roger terlalu panik memikirkan Naga Veloci hingga tidak sedar Linley mengekori mereka.

Tidak lama selepas itu, mereka tiba di tengah pekan. Hillman berdiri jauh, memerhati.

"Mengapa kamu ke mari?" Hillman menengking mereka.

Menyedari kehadiran Linley yang mengekori Lorry dan Roger, kerutan dahi Hillman bertambah dalam. "Linley, keadaan di sini terlalu bahaya. Pergi sekarang." Barulah Lorry dan Roger sedar Linley telah mengekori mereka.

"Linley, kenapa kamu…" Lorry dan Roger kehilangan kata-kata.

"Pak Cik Hillman, saya tak akan berpatah balik." Linley tidak mahu berganjak.

Hillman menggeleng, tidak berdaya memujuknya. Dia tahu betapa degilnya Linley dan betapa sukarnya memaksa dia mengubah fikiran. "Baiklah. Berdiri di belakang Pak Cik. Jangan pergi jauh. Selagi kamu ada bersama, Pak Cik yakin dapat melindungi kamu."

"Terima kasih, Pak Cik Hillman. Saya tak akan berkeliaran." Linley sangat gembira.

Pada saat itu, kumpulan Hillman berada lebih kurang seratus meter daripada Naga Veloci. Dalam diam mereka memerhatikan kejadian yang berlaku di tengah pekan. Di hadapan Naga Veloci, kelihatan sekumpulan anak muda. Empat orang lelaki, tiga wanita.

Next chapter