webnovel

Kemarahan Membara

Editor: EndlessFantasy Translation

Hasil rampasan daripada kekalahan Raja Harimau Kumbang memasuki inventori Zhang Yang.

[Pelindung Tulang Kering Raja Harimau Kumbang] (Besi Hitam, Baju Perisai Berat)

Pertahanan: +3

Tenaga: +7

Kekuatan: +2

Ketangkasan: +1

Tahap Diperlukan: 10

[Plat Dada Raja Harimau Kumbang] (Besi Hitam, Baju Perisai Berat)

Pertahanan: +3

Tenaga: +6

Kekuatan: +3

Ketangkasan: +1

Tahap Diperlukan: 10

[Pelindung Lengan Raja Harimau Kumbang] (Besi Hitam, Baju Perisai Kulit)

Pertahanan: +2

Tenaga: +3

Ketangkasan: +2

Tahap Diperlukan: 10

Kelas Pahlawan dan Satria memakai baju perisai yang berat. Kelas Pemburu dan Pencuri memakai baju perisai kulit manakala kelas Ahli Magis dan Paderi memakai baju perisai kain. 

Zhang Yang hanya boleh menggunakan 2 daripada 3 barang rampasan yang diperolehinya. Ia tidak terlalu teruk, cuma dia perlu mencapai Tahap 10 sebelum dapat menggunakannya. 

Dalam 'Keajaiban Tuhan', topi, plat dada, dan pelindung tulang kering ialah kelengkapan yang paling banyak menambah Nilai Atribut. Sarung tangan, but, rantai, mantel, dan cincin boleh menambah Nilai Atribut sedikit sebanyak, tetapi rantai dan cincin mempunyai kesan atribut istimewa. 

Setiap senjata hanya boleh menambah kerosakan fizikal atau magik dan tidak mempunyai apa-apa atribut walaupun senjata bergred tinggi mempunyai kesan istimewa.

Hasil rampasan seterusnya ini bukanlah kelengkapan, tetapi kepala harimau kumbang yang dipotong dan berdarah.

[Tengkorak Berdarah] (Besi Hitam, Item Istimewa)

Penerangan: Ini tengkorak Raja Harimau Kumbang! Ambil dan bawa ia pulang kepada Hu An, Orang Tua Kampung dan dia pasti akan beri ganjaran ke atas sumbangan anda!

Ikatan.

Item yang diikat ialah item yang tidak boleh ditukar atau dijual pemain, dan membawa ganjaran yang hanya boleh dituntut oleh Zhang Yang.

Bangkai Raja Harimau Kumbang hilang serta-merta sebaik sahaja Zhang Yang selesai mengumpul barang rampasan hasil pertarungan. Dia kemudian terus melombong Vena Besi Bertapis. 

"Ding! Anda telah menggunakan <Perlombongan > untuk Vena Besi Bertapis. Anda telah memperolehi Bijih Besi Bertapis x2. Kemahiran anda dalam <Perlombongan > telah meningkat dengan 2 mata!"

Zhang Yang tersenyum sambil dia mengambil dua Bijih Besi Bertapis yang berkilat. Ia telah menjadi satu matawang dalam permainan ini kerana ia sangat sukar didapati. Bijih itu bersinar-sinar dengan cahaya perak dan cahaya itu sangat indah dipandang!

Di menyimpan cangkul burungnya dan meninggalkan lembah itu dan terus meneroka untuk mencari lebih banyak Bijih Besi Bertapis untuk dilombong. Kadar kemunculan semula Bijih Besi Bertapis itu ialah sejam, jadi dia mencatat masa sebelum dia pergi. Dia akan kembali bila sampai waktunya.

Sementara itu, masa untuk kemunculan semula Raja Harimau Kumbang ialah 24 jam. Zhang Yang pasti akan dapat mengumpul Bijih Besi Bertapis yang mencukupi sambil menunggu kemunculan semula bos itu.

Zhang Yang tidak sabar untuk bertarung dengan bos yang muncul semula itu kerana dia telah memperolehi bukan sahaja kelengkapan, malah EXP! Satu bos sahaja sudah cukup memberikannya EXP untuk mengisi 80% bar pengalamannya. Dia boleh meningkatkan tahapnya dengan dua pembunuhan. Ini sangat mudah! 

Zhang Yang mengelilingi pergunungan itu beberapa kali selama 4 jam dan telahpun melombong Vena Besi Bertapis sebanyak 4 kali dan mendapat 11 Bijih Besi Bertapis. Tanpa melengahkan masa, dia mengerah tenaga dan mencari lebih banyak bijih. Dia kini telah mencapai Tahap 7, tetapi hanya mempunyai 126 Bijih Besi dan masih jauh dari sasaran 200 itu. 

Zhang Yang menyumpah pembuat permainan ini sambil dia meneruskan pencarian Vena Besi itu. Sambil dia memeriksa peta mini yang menunjukkan titik menyala yang tidak jauh dari tempat dia berada, dia kembali pulih dan segera menuju ke situ dengan cangkul burung dalam tangannya – Setelah mendapatkan kemahiran dalam <Perlombongan >, titik kemunculan semula Vena Besi di sekeliling akan ditunjukkan pada peta mini.

"Tang! Tang! Tang!"

Zhang Yang menghayun cangkul burungnya dan mula melombong Vena Besi itu.

Kelihatan sekeping besi perak apabila dia mengangkat cangkul besinya. "Eh, nampaknya aku bernasib baik. Akhirnya aku jumpa Bijih Besi Bertapis Belum Matang!" jerit Zhang Yang dengan perasaan yang bercampur-aduk. Ini kali pertama dia terjumpa Bijih Besi Bertapis Belum Matang setelah dia melombong 126 Bijih Besi dan dia mula mempersoal nasibnya.

Namun, pada waktu ini, dia sanggup menukar Bijih Besi Bertapis yang bernilai itu untuk Bijih Besi. Dengan saingan hebat untuk naik ke tahap tertinggi, dia tidak mampu membazir masa untuk menyelesaikan hanya satu misi. Hanya 10 Bijih Besi Bertapis sudah mencukupi!

Dia sedang menyimpan bijih itu dan cangkul burungnya, dan berpaling untuk meninggalkan kawasan itu bila dia tiba-tiba terdengar suara jelas seorang wanita.

"Tunggu sebentar, kawan!"

Zhang Yang terkejut dan memusingkan tubuhnya. Dua gadis yang sangat cantik muncul dari belakang batu besar.

Kedua-duanya nampak lebih muda dari 20 tahun. Gadis di sebelah kiri memakai baju perisai kulit berwarna merah pekat. Pencipta permainan ini mungkin obses kepada dominasi kerana baju perisai kulit itu sangat singkat dan ketat. Reka bentuk potongan-V di dadanya pula sangat rendah hingga lebih separuh daripada buah dadanya terdedah. 

Apabila dia berjalan, lambungan itu sudah tentu boleh membuatkan hidung mana-mana lelaki berdarah jika dia tidak mempunyai kekuatan dalaman yang kuat. Bahagian bawah badannya ditutupi skirt kulit yang disarung ketat ke punggungnya yang montok. Kakinya panjang dan cerah berserta pinggulnya berayun dengan setiap langkah diambil. 

Seorang lagi gadis itu memakai baju labuh kosong dan panjang berwarna putih. Baju labuh itu sangat longgar dan menyembunyi tubuhnya. 

"Saya?" tanya Zhang Yang sambil menunjukkan dirinya.

Gadis cantik berpakaian baju perisai kulit itu bertanya sinis, "Ada orang lain di sini selain awak?" Suaranya halus dan manis seperti madu, cukup manis untuk melucutkan senjata sesiapa. 

Zhang Yang mungkin nampak seperti dia masih dalam 20-an, tetapi dia sudah dilahirkan semula dan telah merasai pengalaman hidup dan mati, jadi dia tetap tenang dan tidak terlalu terkesan. Setelah dia merenung puas gadis berpakaian baju perisai kulit itu, dia memalingkan pandangan ke arah gadis berpakaian baju putih itu dan bertanya, "Ada apa?" 

Sama sepertinya, kedua-dua gadis itu menyembunyikan maklumat watak mereka, jadi Zhang Yang tidak tahu bagaimana dia patut memanggil mereka.

"Saya Orkid Putih, Paderi dari Persatuan Kemarahan Membara," gadis itu memperkenalkan dirinya. "Ini Ros Berduri, Pencuri Kemarahan Membara!"

Kemarahan Membara? Zhang Yang tahu sedikit-sebanyak tentang persatuan itu. Mereka satu-satunya persatuan dalam 'Keajaiban Tuhan' yang semuanya terdiri daripada wanita! Ketua persatuan mereka, Pencari Seribu Salji, berada di kedudukan Keempat dalam 'Senarai 10 Ahli Sihir Terhebat' dalam wilayah China. Di bawah pimpinannya, Kumpulan Kemarahan Membara juga termasuk dalam pasukan liga profesional Kelas-S. 

"Oh!" jawab Zhang Yang dengan bersahaja dan berkata, "Selamat berkenalan. Jumpa lagi!"

"Hei, hei, hei!" Ros Berduri nampak sedikit kecewa melihat Zhang Yang ingin berlalu pergi. Padanya, lelaki ialah binatang yang berfikir dengan bahagian bawah badan mereka. Dia tidak pernah berjumpa lelaki yang tidak gilakannya seperti lebah yang mengejar madu. Walaupun dia menghalau mereka dengan penyapu, tetap ada yang tidak mahu meninggalkannya, inikan pula seorang lelaki yang ingin pergi dengan rela. 

Zhang Yanglah lelaki pertama yang menolak dan tidak mengendahkan Ros Berduri.

Dia berlari dan memegang Zhang Yang. "Kami ada urusan dengan awak!"

"Apa dia?" Zhang Yang tahu dia tiada apa-apa kaitan dengan sesiapa dari Kemarahan Membara.

"Kami ingin membeli Bijih Besi Bertapis yang baru awak lombong!" luah Ros Berduri.

Mata mereka sangat tajam! Bukan itu sahaja, mereka juga mempunyai kebolehan dalam perniagaan!

Walaupun pemain dalam 'Keajaiban Tuhan' tidak terkira ramainya, tidak ramai yang mengumpul barang. Bekalan untuk barangan seperti herba dan bijih tidak akan mampu memenuhi permintaan pemain. Harga semua barangan itu sangat tinggi memandangkan pekerjaan itu masih belum popular. Harga barangan itu, terutama yang sukar didapati, akan tetap stabil walaupun permainan ini terus berkembang dan tidak akan menurun! 

Setakat ini, kebanyakan pemain hanya mahu mengingkatkan tahap mereka dan tidak menyedari betapa berharganya barangan tersebut. Satu masa nanti, akan huru-hara bila pemain berebut untuk menguasai titik kemunculan vena besi atau herba yang sukar didapati. 

Namun, pemain perempuan dari Kemarahan Membara ini telahpun mula mengumpul barangan luar biasa ini. Zhang Yang agak kagum dengan persediaan awal mereka.

"Ini bukan untuk dijual!" Zhang Yang menggelengkan kepala dan menolak tawaran mereka. Bijih Besi Bertapis itu hanya bernilai beberapa Syiling Tembaga jika dijual sekarang, jauh dari walau 1% nilai sebenarnya. 

Ros Berduri betul-betul terkejut bila tawarannya terus ditolak Zhang Yang. Dia ingatkan lelaki ini cuma berpura-pura tidak mengendahkannya untuk menarik perhatian, tetapi sekarang dia betul-betul yakin lelaki ini tidak berminat langsung dengannya. 

Sejak bila aku hilang tarikan aku? Keinginan Ros Berduri untuk menukar keadaan ini terus membara. "Kami boleh tawarkan harga yang tinggi. Bagaimana dengan 10 Syiling Perak?"

Zhang Yang hampir-hampir menolak tawaran itu dia terfikirkan sesuatu dan berkata, "Saya tak akan jual semua ini. Tapi, kalau saya boleh tukar ini dengan Bijih Besi, saya mungkin boleh pertimbangkan!"

Jawab Orkid Putih, "Berapa banyak Bijih Besi yang awak mahu untuk satu Bijih Besi Bertapis?"

Memandangkan Zhang Yang masih kurang 72 bijih-bijih, dia berkata, "Hm. Saya mahu 72 keping!"

"72 keping?" Gadis-gadis itu memandang satu sama lain dengan gembira. Mereka tahu kadar melombong Bijih Besi Bertapis itu rendah dan kebiasaannya orang hanya akan memperolehi satu Bijih Besi Bertapis setelah melombong lebih 200 ke 300 Bijih Besi. Kalau tidak bernasib baik, kadar itu jadi lebih rendah! Menukarkan 72 keping Bijih Besi untuk satu Bijih Besi Bertapis ialah satu pertukaran yang sangat berbaloi.

"Tidak cukup? Kalau saya tambah satu lagi?" Zhang Yang mengeluarkan dua Bijih Besi Bertapis dari inventori dan tersenyum ikhlas, "Bagaimana kalau 2 Bijih Besi Bertapis untuk 72 keping Bijih Besi?"

Lelaki ini… sangat bodoh!

Orkid Putih dan Ros Berduri memandang satu sama lain. Tanpa teragak-agak, mereka mengeluarkan 72 keping Bijih Besi dan masuk ke dalam layar pertukaran untuk meletakkannya di situ. Setelah Zhang Yang meletakkan dua Bijih Besi Bertapisnya, Orkid Putih pantas menekan butang 'Pasti' untuk menyelesaikan transaksi.

Dengan bunyi "Ding", sistem memaklumkan mereka yang transaksi mereka telah selesai. Ketiga-tiga mereka memandang satu sama lain dan mereka tersenyum memikirkan yang mereka mendapat tawaran baik dan mereka mengucapkan selamat tinggal. 

"Hehehe. Aku ingatkan lelaki pelik itu lain daripada yang lain. Dia cuma sedikit berhati-hati. Aku ingatkan aku sudah hilang tarikanku sekejap tadi!" ujar Ros Berduri lega sambil menepuk dadanya selepas jauh mereka berjalan.

Namun, Orkid Putih menjawab selepas berfikir dalam, "Aku masih rasa lelaki itu… seperti seorang yang lebih licik!"

"Hmph, apa pun, 2 keping Bijih Besi Bertapis ini memang bukan palsu!" kata Ros Berduri endah tak endah. "Cetak biru perisai yang Ying Ying dapat memerlukan 5 Bijih Besi Bertapis untuk kita hasilkan perisai bergred Besi Hitam. Kita pasti akan jadi persatuan pertama yang menghasilkannya dan akan dapat kelebihan besar dalam peperangan dungeon yang pertama."

Orkid Putih berfikir mengenainya dan terpaksa bersetuju. Tidak kira berapa lama dia berfikir, dua keping Bijih Besi Bertapis ini memang lebih berharga daripada Bijih Besi itu!

"Di! Di! Di!" alat panggilan permainan itu berbunyi.

Orkid Putih pantas menjawab panggilan dan terdengar suara seorang wanita yang berkata, "Saudari Orkid, Saudari Ros, Ketua Persatuan baru mengarahkan semua orang untuk membawa semua Bijih Besi ke Dewan Kampung!"

Ros Berduri dan Orkid Putih memandang satu sama lain dan berasa kurang senang.

"Xiao Qing, kenapa Ketua Persatuan mahu Bijih Besi itu?" tanya Orkid Putih.

Orang di hujung talian itu segera menjawab, "Misi kelas Pahlawan memerlukan 200 keping Bijih Besi. Mei Mei sedang menunggu kamu!"

"Oh – Tidak!" jerit Orkid Putih dan Ros Berduri serentak.

"Ah lelaki jahat itu, berani dia tipu aku! Jangan bagi aku jumpa dia lagi. Aku akan goda dia habis-habisan dan hancurkan dia. Kalau aku tidak berjaya membuat dia menangis dan patah hati paling kurang untuk beberapa tahun, nama aku bukanlah Jiang!" kata Ros Berduri dengan geram dan benci pada Zhang Yang dengan membara. Dia sebenarnya berasa sangat geram yang tarikannya yang selalunya menggoda tetapi tidak menjadi kali ini!

Selepas beberapa ketika berada dalam keadaan marah, dia bersyukur bukan dia sahaja yang tertipu dan dia berkata, "Saudari Orkid, aku hanya pandai menggoda dan tidak cerdik. Apa alasan kamu?"

"…"

Next chapter