webnovel

Perjalanan dari Jabatan Obstetrik dan Ginekologi ke pejabata pengarah sebenarnya mengambil masa kurang daripada 10 minit. Tetapi, Huo Mian berjaya memanjangkan masa itu menjadi 15 minit dengan berjalan perlahan-lahan.

Pengarah Wu Zhongxing merupakan seorang lelaki berusia lewat 50-an dengan wajah yang bersegi, mata yang tajam dan gaya pengurusan yang tradisional.

Sudah tentulah sebagai seorang jururawat pelatih yang baru sahaja bekerja di Hospital Pertama kurang dari setahun, Huo Mian belum mempunyai penghormatan untuk berjumpa pengarah tersebut secara peribadi.

Dia hanya pernah melihat pengarah tersebut dalam gambar-gambar di laman sesawang rasmi Hospital Pertama. Berdasarkan apa yang didengarinya, pengarah tersebut merupakan profesor ortopedik yang hebat semasa dia muda.

Selain itu, pengarah itu juga kerap menjadi profesor jemputan di Eropah pada masa dahulu.

Tanpa disedarinya, dia sudah tiba di luar pejabat pengarah. Seorang lelaki bergaya dalam persalinan sut yang kemas dan kaca mata berbingkai emas berdiri di pintu pejabat.

"Adakah kamu Huo Mian?" Lelaki itu bercakap terlebih dahulu.

"Ya."

"Pengarah menunggu kamu di dalam. Masuk lah."

"Okey." Huo Mian mengangguk. Dengan sedikit gementar, dia mengetuk pintu.

"Masuk." Satu suara dalam dan serius kedengaran daripada dalam pejabat.

Huo Mian berjalan masuk untuk berjumpa dengan pengarah itu. Seperti yang dijangkakan, dia kelihatan sama seperti dalam gambar. Kot doktor berwarna putih yang dipakainya kelihatan lebih terang daripada biasa.

Walaupun pengarah tersebut belum lagi mencapai usia enam puluhan, rambutnya sudah dihiasi dengan helaian rambut berwarna putih. Hujung matanya juga jelas sudah berkedut.

"Adakah kamu Huo Mian?" Pengarah tersebut memulakan perbualan.

"Ya saya."

"Datang ke sini dan sila duduk." Sikap pengarah tersebut begitu mesra, di luar jangkaan. Namun, hal ini membuatkan Huo Mian semakin tidak senang.

"Tidak apa. Saya berdiri sahaja." Huo Mian masih agak teragak-agak untuk berkomunikasi.

"Jangan takut. Mari duduk dan berbual." Pengarah tersebut membuat isyarat menyuruh Huo Mian duduk.

Huo Mian berfikir sekiranya dia menolak lagi, dia mungkin kelihatan seperti enggan bekerjasama. Jadi, dia berjalan dan duduk dengan sopan di atas sofa hitam itu.

"Begini halnya. Saya memanggil kamu ke sini hari ini kerana saya ada tugasan mustahak untuk kamu."

Huo Mian mengangguk. " Baik, tuan. Sila beritahu saya. Selagi perkara itu dalam kemampuan saya, saya janji saya akan lakukan yang terbaik."

"Semalam, seorang pegawai daripada pusat bandar Jing datang untuk memeriksa Bandar C. Namun, dia tiba tiba mengalami pendarahan otak akut dan dibawa ke suit VIP paling eksklusif di hospital kita malam tadi. Kemudahan dan peralatan perubatan kita bukanlah begitu canggih sebenarnya. Tetapi, keadaan pegawai itu benar-benar kritikal dan dia tidak cukup stabil untuk dipindahkan ke hospital lain. Dengan keadaannya sekarang, sedikit pergerakan pun boleh menyebabkan pendarahan intrakranial yang parah. Oleh itu, saya dan eksekutif hospital yang lain mengadakan mesyuarat kecemasan dan kami mengambil keputusan untuk melakukan kraniotomi itu di sini, di hospital ini. Pembedahan itu akan dijalankan tiga jam dari sekarang. Pakar bedah neuro yang terkenal sendiri akan melakukan pembedahan ini."

Selepas pengarah tersebut selesai memberi penerangan, Huo Mian mengangguk. Dia memahami situasi tersebut sekarang. Ianya benar-benar kritikal.

Memandangkan pegawai tersebut berasal dari Bandar Jing, dia pasti memegang jawatan penting dalam kerajaan. Patutlah pengarah begitu memandang serius perkara ini.

"Tuan pengarah, ada apa apa yang boleh saya lakukan untuk menolong?"

"Saya mahu kamu jadi jururawat pembedahan dalam pembedahan ini."

Mendengarkan permintaan ini, Huo Mian segera membangkang. "Tuan, bagaimana Tuan boleh meminta saya jadi jururawat pembedahan? Saya jururawat perbidanan yang berkhidmat di Jabatan OB/GYN dan saya langsung tidak tahu apa-apa mengenai neurosurgeri. Saya percaya Tuan sudah melihat resume saya. Saya bukannya graduan daripada institusi terkenal. Saya hanya tamat pengajian daripada program kejururawatan lanjutan di akademi perubatan biasa di bandar kita ini."

"Saya tahu." Pengarah tersebut membalas dengan bersungguh-sungguh.

"Kalau Tuan sudah tahu, kenapa Tuan serahkan tugasan ini kepada saya? Ini...ini bukan satu keputusan yang wajar." Huo Mian berkata dengan tenang.

Next chapter