webnovel

Bapa kepada Bayi

Editor: EndlessFantasy Translation

Yu Lili bermimpi. Di dalam mimpi itu, dia kembali ke hari di mana doktor memberitahunya yang dia telah mengandung.

"Badan kamu mungkin dah punya antibodi terhadap pil itu kerana kamu dah ambilnya terlalu kerap. Atau mungkin juga kamu tak buat langkah pencegahan, jadi itu yang menyebabkan kamu hamil. Tapi mengikut situasi yang kamu ceritakan, saya tak sarankan kamu lahirkan anak ini. Pil pencegahan hamil ada kesan yang kuat terhadap janin. Sekarang kamu nampak seperti tiada masalah, tetapi sukar untuk dipastikan janin itu tidak akan cacat atau ada masalah lain selepas lahir."

Yu Lili tunduk dan memegang perutnya. Kemudian dia memandang doktor di hadapannya dan bertanya, "Seperti autism atau OKU?"

Doktor itu mengangguk dengan simpati. "Mengandung memerlukan persediaan. Dalam situasi kamu ia berlaku tiba-tiba, jadi ia bukan masa yang baik untuk kamu dan bayi ini. Sekarang janin ini masih kecil, jadi kamu boleh gugurkannya. Juga, jangan makan pil itu lagi. Ia bahaya untuk badan kamu."

Yu Lili keluar dari hospital itu dengan fikiran yang bercelaru.

Saya hamil. Saya hamil… Tetapi, bayi ini mungkin akan cacat. Apa patut saya lakukan? Adakah saya perlu beritahu Ou Ming? Tidak, tidak. Jika saya beritahu dia, pasti dia akan menyalahkan saya. Menyalahkan saya kerana makan pil dan tak mencegah. Tapi Ou Ming selalu menggunakan kondom, jadi kenapa saya boleh mengandung secara tiba-tiba?

Yu Lili memandu sendiri pulang ke rumah. Namun belum sempat dia masuk, dia mendengar Ou Ming sedang berbual di telefon. Ou Ming membelakangi pintu dan Yu Lili sengaja berjalan perlahan, jadi Ou Ming tidak menyedari dia sudah pulang.

Nada Ou Ming kedengaran agak berang. "Mama, syarikat saya masih belum kukuh. Bila tiba waktu yang sesuai saya akan bertunang dengan Cik Shen…"

Dia akan bertunang…

Yu Lili yang berdiri di pintu merasakan dirinya bagai dipanah petir.

Ou Ming akan bertunang? Ou Ming akan bertunang! Bukankah lelaki itu berkata mahu mengahwini saya? Malah Yu Lili tahu Ou Ming telah menempah cincin dan baju pengantin secara diam-diam. Adakah semua itu palsu? Atau… adakah dia menyediakan semua itu untuk bakal tunangnya, bukan saya? Jadi saya ini apa? Perempuan simpanan? Peneman tidur?

Yu Lili terkaku di tempatnya sambil merenung belakang tubuh Ou Ming dengan bingung.

Ou Ming menamatkan panggilan itu dan memusingkan tubuhnya. Yu Lili segera bersembunyi di sebalik dinding. Fikirannya benar-benar keliru. Kemudian dia pergi ke bilik kerja Ou Ming secara diam-diam dan duduk di hadapan meja. Draf rekaan dan lakaran baju pengantin ada di situ. Kesemuanya kelihatan amat cantik kerana telah dilakar dengan halus dan penuh teliti.

Selama ini saya menyangka ini semua disediakan oleh Ou Ming untuk saya. Tetapi rupa-rupanya… saya terlalu kuat berangan.

Yu Lili berasa kecewa. Tangannya diletakkan pada dada dan kesedihan yang tidak terungkap menyelubungi hatinya.

Sedihnya. Rupanya saya hanya perasan sendiri. Tak apa. Saya hanya seorang wanita simpanan, bukan? Apa kelayakan yang saya ada untuk kecewa atau sedih? Sewaktu saya memutuskan untuk menyerahkan diri saya kepada Ou Ming, saya sudah tahu saya akan kehilangan banyak perkara. Tiada cinta, tiada kebebasan, tiada maruah diri mahupun identiti. Saya yang menyeksa diri sendiri. Ou Ming tidak memaksa, saya yang sukarela melakukan semuanya, bukan? Tapi mengapa hati saya terasa amat pedih dan tidak selesa? Adakah kerana Ou Ming ialah bapa kepada bayi saya? Bapa kepada bayi… yang telah ditakdirkan untuk tidak lahir di dunia ini.

Next chapter