webnovel

Bercakap Seperti Itu Amat Meletihkan…

Editor: EndlessFantasy Translation

Ersu tersenyum melihat telatah Kapten Li lalu berkata, "Dasu yang nak sangat pergi, tapi dia malu nak telefon Mama, jadi dia minta saya yang beritahu. Ersu budak baik kan Mama?"

Su Qianci sedar nada Ersu seperti menyembunyikan sesuatu, tetapi tidak mempedulikannya dan hanya tergelak kecil. "Kamu cuma nak kenakan abang kamu. Mama tahu kamu yang nak pergi sangat."

Li Jianyue tersenyum dan berkata, "Mana ada. Jadi kita boleh pergi esok?"

"Okey. Lagipun Mama dah lama tak bawa kamu keluar."

"Yeay!!" sorak Li Jianyue. "Jadi kita akan ke taman tema esok! Saya nak pergi beritahu Abang. Selamat tinggal Mama!"

"Selamat tinggal." Senyuman Su Qianci melebar dan anginnya menjadi semakin baik. Selepas talian diputuskan, dia melihat skrin telefon itu dan mendapati ada satu panggilan yang tidak dijawab.

Nama seseorang yang telah lama tidak ditemuinya terpapar pada skrin itu. Rong Haiyue. Su Qianci merenung nama itu seketika sebelum menelefonnya kembali.

Rong Haiyue segera menjawab panggilan itu dengan suara yang kedengaran terkejut. "Qianci?"

"Ya," jawab Su Qianci. "Ada apa-apa berlaku?"

"Saya… ada di Kingstown dengan mama kamu. Boleh saya datang ke rumah kamu untuk jumpa budak-budak itu?" Rong Haiyue bercakap dengan berhati-hati kerana bimbang Su Qianci akan berasa marah. Nadanya sentiasa begitu ketika bercakap dengan Su Qianci sejak beberapa tahun lalu. Tanpa mempedulikan kebaikannya yang telah menyelamatkan nyawa Su Qianci atau kuasanya sebagai seorang ayah, dia sentiasa mahu mendekati Su Qianci dan menyenangkan hati anaknya itu. Su Qianci juga tahu Rong Haiyue mahukan kemaafannya.

Mendengar pertanyaan itu, Su Qianci mengetap bibirnya dan berasa sedikit bersalah. "Kamu…" Tak perlu buat begini.

Namun belum sempat dia menghabiskan kata-katanya, Rong Haiyue segera menyambung, "Saya ada belikan permainan untuk anak-anak kamu. Ersu mesti suka anak patung kan? Dasu pula, saya tak tahu apa yang dia suka, jadi saya belikan buku cerita. Kalau kamu tak selesa saya datang ke rumah, saya boleh ke syarikat kamu dan berikan permainan-permainan itu. Boleh?"

"Datanglah ke rumah." Hati Su Qianci berasa tidak senang. Lebih tepat lagi, dia berasa sedih. "Budak-budak itu ada di rumah, kamu boleh ke sana dengan… dia. Saya masih sibuk dengan kerja, nanti saya balik."

Hati Rong Haiyue melonjak keriangan sebaik mendengar kata-kata itu. "Bagus! Saya…" Kemudian dia tersedar reaksinya terlalu teruja lalu cuba menenangkan dirinya dan berkata, "Kamu teruskanlah kerja. Saya ke sana sekarang. Balik… cepat."

"Okey."

"Jadi… jumpa kamu nanti?"

"Ya, jumpa nanti."

Rong Haiyue merasakan dunianya menjadi indah sebaik mendengar jawapan itu. Suaranya terus berubah ceria. "Okey, jumpa nanti!"

Su Qianci menamatkan panggilan lalu bersandar pada kerusinya dengan hati yang berat. Bercakap dengan berhati-hati seperti itu sangat memenatkan…

Su Qianci gagal untuk menumpukan perhatian kepada kerjanya lalu mengemaskan dokumen-dokumen yang perlu dan membawanya pulang ke rumah. Ketika Su Qianci tiba, Rong Haiyue dan Rong Xuan sudah pun ada di rumah itu dan sedang bermain dengan anak-anaknya di ruang tamu bersama beberapa permainan baru.

Sebaik melihat Su Qianci, Li Jianyue kelihatan amat gembira. Dia memeluk anak patung Barbie bersaiz besar yang dibelikan oleh Rong Haiyue lalu berlari ke arah ibunya dan menjerit, "Mama, tengok anak patung yang Pak Cik Rong belikan untuk saya! Cantik sangat!"

Su Qianci membongkok lalu tersenyum dan mendukung anak perempuannya itu. Kemudian dia memicit lembut hidung Li Jianyue dan berkata, "Pak Cik? Kamu patut panggil dia Atuk."

Next chapter