webnovel

Ikut Permainan Mereka

Editor: EndlessFantasy Translation

Kenapa kamu tak mahu menerima kenyataan? Peluang untuk terselamat daripada letupan sebesar itu hampir tiada langsung. Tambahan pula, Cheng You ada mendengar Li Sicheng telah dipukul dengan sangat teruk sebelum letupan itu berlaku, jadi mustahil dia mampu menyelamatkan diri. Bagaimana mungkin lelaki itu masih hidup? Mustahil!

Cheng You berasa sedih dan bersimpati terhadap Su Qianci. Wanita ini masih muda dan sedang mengandung anak kembar. Apa yang boleh dilakukannya pada hari-hari akan datang? Adakah Su Qianci akan terus menjadi balu? Dia baru sahaja berusia 21 tahun! Masih muda dan cantik…

Tangisan Cheng You semakin kuat apabila memikirkan perkara itu. Dia berkata, "Puan, terimalah hakikat. Dia tak akan kembali. Dia dah pergi buat selama-lamanya. Dalam situasi seperti itu, jika dia tak terbunuh sekalipun, dia pasti telah terbakar sehingga maut…"

"Cheng You!" Su Qianci kedengaran jengkel, matanya yang cantik kelihatan dipenuhi amarah. "Jangan sumpah dia! Dia belum mati! Mereka tak jumpa mayatnya. Tiada mayat bermakna dia belum mati!" Tambahan pula, Rong Haiyue melihat dengan matanya sendiri Li Sicheng dibawa lari, bukan? Li Sicheng tiada di dalam kilang itu, malah Rong Haiyue juga berjaya menyelamatkan diri. Jadi mustahil Li Sicheng sudah mati. Su Qianci tiba-tiba teringat kata-kata Rong Haiyue sewaktu di hospital: 'Mereka itu penuh dengan perancangan jahat. Lebih baik kalau kita ikut saja permainan mereka.'

Pada asalnya Su Qianci mahu memberitahu Cheng You perkara sebenar yang telah diceritakan oleh Rong Haiyue. Tetapi sekarang dia berubah fikiran. Cheng You menyangka dia tidak sanggup menerima kenyataan. Jadi, bukankah lebih baik kalau dia berpura-pura sangkaan Cheng You benar? Walaupun Cheng You telah lama bekerja dengan Li Sicheng, wanita itu kini sangat rapat dengan Rong Rui.

Bagaimana jika Rong Rui dan kumpulan pengedar dadah itu ada hubungan? Sebaik memikirkannya, riak wajah Su Qianci kelihatan tekad. Dia memandang Cheng You dan berkata, "Li Sicheng tak akan mati. Satu hari nanti dia akan kembali."

Cheng You mengetap bibir lalu mengambil tisu untuk mengelap air matanya.

Mata Su Qianci turut kemerahan ketika dia berkata perlahan. "Dia akan kembali untuk jumpa saya dan anak-anak kami. Dia belum berikan nama untuk mereka lagi. Mana mungkin dia sudah mati? Dia tak akan mati lagi."

Tukang masak yang menghantar makanan mereka mendengar kata-kata Su Qianci dan berasa sedih. Setelah meletakkan makanan itu di atas meja, dia membuka pintu dan terus keluar. Tiba di dapur, dia menceritakan perkara yang didengarinya kepada rakan-rakan sekerjanya. Bak kata orang, perkara paling pantas merebak dalam dunia ini bukanlah api, tetapi khabar angin. Hanya dalam beberapa jam, hampir semua pekerja di syarikat itu tahu Su Qianci tidak sanggup menerima kenyataan suaminya sudah meninggal dunia. Secara tiba-tiba khabar angin tersebar mengatakan Su Qianci degil dan paranoia.

Cheng You hanya diam ketika mereka sedang makan.

Sebaik sahaja mereka kembali ke tingkat atas, Su Qianci meminta Cheng You membawakan dokumen-dokumen yang perlu disiapkan segera kepadanya. Su Qianci duduk di meja Li Sicheng lalu menyemak dokumen-dokumen itu dengan cepat. Namun walapun matanya tertancap pada dokumen, fikirannya tidak dapat berhenti daripada teringat saat-saat lelaki itu duduk di kerusi yang didudukinya sekarang.

Dia memandang katil kecil yang pernah didudukinya dulu.

["Puan Li, jaga imej kamu."]

["Tak ada sesiapa di sini. Posisi ini bagus!"]

["Nampaknya kamu nak cuba posisi itu."]

["Tak malu!"]

Bibirnya mengukir senyuman sebaik teringat kenangan itu. Su Qianci bangun dan menutup pintu bilik pejabat itu sebelum menyambung memeriksa dokumen-dokumen di hadapannya. Walaupun sudah lebih setahun tidak menyentuh dokumen-dokumen sebegitu, dia masih mengingati asasnya. Su Qianci terus meneliti dokumen-dokumen itu dalam jangka masa yang lama sebelum matanya tertancap kepada satu pelan bidaan tanah.

Next chapter