webnovel

Kerana Dia Tidak Mahu

Editor: EndlessFantasy Translation

Li Sicheng berjalan masuk ke dalam bilik. Melihat Su Qianci berada di situ, dia duduk di atas katil sambil terus berbual di telefon dalam bahasa Itali. Su Qianci dapat memahami perbualan itu. Dia menolak selimutnya dan memandang Li Sicheng. Sebaik panggilan itu selesai, dia bertanya, "Kamu akan pergi trip perniagaan?"

"Ya, saya rasa saya perlu ke Itali."

"Bila?"

"Lusa." Li Sicheng mengangkat selimut dan menarik Su Qianci ke dalam pelukannya. "Saya pergi sekejap saja, mungkin dalam tiga hingga lima hari."

"Okey." Su Qianci agak kecewa. "Kamu akan pergi ke Venice?"

"Tak." Li Sicheng ketawa kecil lalu mencubit wajah isterinya. "Nanti saya bawa kamu ke sana. Kali ini saya ada kerja."

"Baik."

"Tidurlah." Li Sicheng mencium dahinya lembut. "Esok kita pergi jumpa Atuk."

"Okey."

Su Qianci memeluk pinggang Li Sicheng sambil menundukkan wajahnya. Venice, Itali, semua itu merupakan tempat yang romantik. Sudah lama dia teringin ke sana. Tetapi bagus juga Li Sicheng tiada buat sementara. Ada sesuatu yang ingin dilakukannya tetapi dia takut. Semasa Li Sicheng berada di Itali, dia akan pergi membuat ujian HIV.

Selepas menutup lampu, Li Sicheng terus tertidur. Nafasnya yang turun naik dihembus ke rambut isterinya. Su Qianci memegang tangan suaminya dengan erat. Li Sicheng telah tertidur. Sejak beberapa hari lalu, mereka langsung tidak bersama. Malah Li Sicheng juga sudah tidak menciumnya sekerap dahulu. Walaupun Su Qianci memang tidak mahu ia berlaku, itu adalah kerana dia berkemungkinan dijangkiti AIDS. Tetapi bagaimana pula dengan Li Sicheng? Adakah suaminya ini sudah tidak lagi tertarik kepadanya? Adakah Li Sicheng tahu bahawa dia telah dirogol dan memutuskan untuk tidak memberitahunya?

Su Qianci mengerekotkan tubuhnya dan bergerak menjauhi Li Sicheng sebaik memikirkan perkara itu. Jadi… Li Sicheng tidak menyentuhnya kerana dia memang tidak mahu… bukan? Su Qianci mula berasa sebak dan mengetap giginya. Kemudian dia mengambil telefon bimbitnya di atas meja sisi.

Li Sicheng terjaga disebabkan cahaya dari skrin telefon itu. Dia menarik Su Qianci kembali ke dalam pelukannya dan berbisik, "Tak dapat tidur?"

"Ya, mungkin sebab saya dah tidur lama tadi. Kamu tidurlah, saya nak tengok telefon sekejap."

Li Sicheng sememangnya sangat keletihan. Dia sangat sibuk sejak beberapa hari ini sehingga tidak sempat berehat. Li Sicheng mengangguk mendengar kata-kata isterinya dan melepaskannya. "Jangan tidur lewat sangat."

Sebaik sahaja Li Sicheng melepaskan pelukannya, hati Su Qianci menjadi kosong. Dia berpaling membelakangi Li Sicheng dan menangis. "Okey." Suaranya kedengaran sedikit bergetar.

Li Sicheng menyedarinya dan berpaling sebelum menutup matanya.

Su Qianci menggigit jarinya dan membiarkan air matanya terus tumpah. Dia cuba untuk tidak membuat sebarang bunyi dan kekal tidak bergerak. Apabila Li Sicheng sudah tidur kembali, dia mengeluarkan telefonnya dan menaip pada enjin carian: 'Bagaimana AIDS dapat berjangkit'. Beratus-ratus artikel keluar dan dia menekan salah satu daripadanya.

Seks, darah, ibu kepada anak.

Bersalam, bersentuh kulit dan tidur bersama tidak akan menyebabkan jangkitan. Malah bercium dan berpeluk juga tiada masalah. Berkemungkinan ada sedikit virus di dalam air liur, peluh dan air mata, tetapi sangat jarang ia menyebabkan seseorang dijangkiti AIDS. Hati Su Qianci berasa sedikit tenang selepas membacanya. Kemudian dia mencari tanda-tanda awal AIDS: Antara tanda awal seseorang dijangkiti AIDS ialah demam. Tetapi ada juga yang tidak menunjukkan sebarang tanda dan tidak tahu mereka telah dijangkiti AIDS.

Next chapter