webnovel

Habislah Lelaki Itu

Editor: EndlessFantasy Translation

Melihat reaksi dramatik Song Yifan, Su Qianci menelan kembali kata-kata lain yang ingin diucapkannya.

Song Yifan berasa agak malu sebaik menyedari dia telah menjatuhkan pisau itu. Dia membongkok ke bawah untuk mengutip pisau itu dengan wajah yang sedikit kemerahan. Sebaik sahaja mengangkat kepala, dia terhantuk pada meja kopi kaca itu dan menghasilkan bunyi yang kuat.

Su Qianci terkejut dan bertanya, "Kamu tak apa-apa?"

Song Yifan berasa sangat malu. Pipinya kemerahan seperti waktu kali pertama dia membuat persembahan di atas pentas. Dia menggelengkan kepala tetapi Su Qianci menjerit kecil sebaik melihat tangannya. Song Yifan tunduk dan melihat darah mengalir pada tangannya.

Dia telah tersilap memegang pisau itu pada bahagian yang salah. Bahagian tajam telah dihalakan pada tapak tangannya. Ia tidak terasa begitu sakit tetapi Su Qianci terus mengambil pisau itu dari tangannya dan berkata, "Kamu perlu lebih berhati-hati…"

Su Qianci sedang duduk berhadapan Song Yifan dan disebabkan meja kopi itu tidak lebar, dia dengan mudah dapat mencapai tangan Song Yifan. Su Qianci membuka jari-jemari Song Yifan, mendapati ia dipenuhi darah dan kelihatan menyeramkan.

Li Sicheng mula cemburu tetapi kemudian berasa agak kasihan apabila melihat Song Yifan yang kelihatan sangat gembira.

Sekali ini sahaja!

"Liu Sao, boleh kamu tolong bawakan peti pertolongan cemas?" suruh Li Sicheng.

Orang gaji itu mendengarnya dan terus membawa peti tersebut. Sebaik melihat darah pada tangan Song Yifan, Liu Sao terkejut dan berkata, "Macam mana Tuan boleh cedera? Luka itu perlu dibalut."

"Saya boleh buat sendiri. Terima kasih," kata Song Yifan sambil tersenyum. Jelas dia lebih santai apabila bercakap dengan Liu Sao berbanding Su Qianci. Dia kemudian menoleh ke arah Su Qianci dan tersengih seperti kerang busuk apabila melihat Su Qianci menggeledah peti pertolongan cemas itu.

Su Qianci menjumpai plaster yang dicarinya dan menampalnya dengan berhati-hati pada tangan Song Yifan. Setelah selesai, dia menyedari mata Song Yifan telah berubah kemerahan.

Song Yifan mengelipkan matanya dan hampir berasa keliru apabila melihat Su Qianci memandangnya. Dia tersenyum dan berkata, "Terima kasih, Qianci."

Su Qianci tersenyum kembali. "Tak perlu berterima kasih. Kamu ayah saya, bukan?"

Sebaik mendengarnya, mata Song Yifan terus basah. Dia cuba menahan perasaannya dan berkata perlahan, "Betul, saya ayah kamu…" Dia menarik nafas dalam dan menyedari dirinya sedang sangat beremosi. Song Yifan bangun dan berkata, "Saya mahu ke bilik air."

"Di sana." Li Sicheng menunjuk ke satu arah dan Song Yifan segera pergi sebelum menghilang daripada pandangan mereka.

Reaksi Song Yifan membuatkan Su Qianci berasa terharu. Matanya kini turut basah. Sebaik melihat perkara itu, Li Sicheng bertanya dengan suara perlahan, "Kamu nak ke bilik air juga?" Su Qianci merenungnya tajam dan menolak tubuh Li Sicheng perlahan. Li Sicheng tersenyum dan membelai rambut Su Qianci sambil berbisik, "Dia sangat gembira."

"Saya juga." Su Qianci memandang Li Sicheng. "Sekarang saya dah ada ayah."

Li Sicheng tersenyum dan mencubit wajahnya. "Kamu ada saya juga."

Setelah menenangkan dirinya, Song Yifan kelihatan lebih santai apabila dia kembali. Selepas makan bersama keluarga Li dan memastikan hubungan besannya bersama keluarga itu, Song Yifan pulang dengan senang hati.

Li Sicheng dan Su Qianci juga tidak berhasrat untuk berada di rumah itu terlalu lama. Tiba-tiba, satu panggilan masuk daripada Cheng You.

Next chapter