webnovel

Dicekik Sehingga Mati di Atas Katil

Editor: EndlessFantasy Translation

Walaupun Yu Lili mengejek Lu Yihan, Su Qianci dapat melihat wanita itu agak gementar. Yu Lili kelihatan masih menaruh hati terhadap Lu Yihan. Tetapi bagaimana dengan Ou Ming? Su Qianci tiba-tiba teringat khabar angin tentang perkara sebenar berkaitan kematian Yu Lili pada kehidupan lalu.

Khabar angin mengatakan Yu Lili dibunuh di atas katil oleh Ou Ming sendiri dengan sebab yang tidak diketahui. Ramai mengatakan ia disebabkan Yu Lili mempunyai lelaki simpanan dan dia sering membelanjakan wang Ou Ming untuk lelaki itu.

Selain itu, pada kehidupan Su Qianci yang lalu juga, Lu Yihan tiba-tiba berubah menjadi seorang yang kaya dan terkenal daripada tidak punya apa-apa. Tanpa modal yang cukup, mustahil Lu Yihan akan mencapainya secepat itu. Su Qianci tiba-tiba mempunyai firasat tentang hal itu...

Su Qianci terkejut dengan perkara yang bermain di fikirannya. Dia mula memerhatikan interaksi antara Yu Lili dan Lu Yihan. Jika apa yang difikirkannya adalah perkara yang benar, itu amat menakutkan.

Yu Lili menyedari renungan Su Qianci yang seperti sedang menyiasat, lalu tiba-tiba berasa gementar. Adakah Su Qianci menyedari sesuatu? Dia cuba menahan perasaannya lalu duduk di tepi katil Su Qianci dan mulai berbual dengannya.

Sekali sekala, Lu Yihan turut mencelah perbualan mereka. Namun Yu Lili akan membalasnya dengan sindiran. Mereka kelihatan seperti pasangan kekasih yang bertengkar, dan membuatkan Su Qianci berasa semakin tidak senang. Setelah berfikir panjang, Su Qianci menyuruh Lu Yihan pergi dahulu.

Setelah Lu Yihan pergi, Yu Lili jelas kelihatan lebih selesa. Dia bertanya dengan nada ingin tahu, "Kamu ada sesuatu mahu cakap dengan saya?"

"Kamu tahu satu perkara yang paling lelaki tidak suka?" tanya Su Qianci.

Yu Lili menggelengkan kepalanya, tidak memahami apa yang dimaksudkan oleh Su Qianci.

"Ada lelaki lain dalam fikiran isteri mereka."

Sebaik mendengar kata-kata itu, wajah Yu Lili berubah sedikit pucat. "Apa yang Ou Ming beritahu kamu?"

"Tiada apa. Saya belum pernah bertemu dengan Ou Ming. Tapi saya tahu kamu masih ada perasaan yang sama seperti dulu terhadap Lu Yihan."

Wajah Yu Lili bertambah pucat.

Adakah ia terlampau jelas?

Dia sudah berusaha keras untuk menyembunyikan perasaannya. Bagaimana Su Qianci dapat melihatnya?

Sebenarnya pada mulanya, Su Qianci tidak berapa pasti. Namun setelah melihat reaksi Yu Lili, kecurigaannya telah dapat dipastikan dan terbukti benar.

"Kamu tahu bagaimana Ou Ming memperlakukan kamu. Dia kawan baik kepada Li Sicheng dan kedua-dua mereka bukan jenis yang pandai mengawal kemarahan. Jangan cari masalah dengannya. Jika tidak, saya bimbang kamu akan terima akibat yang buruk."

Seperti dalam kehidupannya yang lalu, Su Qianci tidak tahu betapa besar impak kata-katanya kepada Yu Lili. Yu Lili tahu Su Qianci lebih faham tentang hal ini daripada dirinya sendiri. Setelah dirinya menjadi milik Ou Ming, dia tahu dia tidak dapat lagi mengikut kehendaknya sendiri. Dia tahu segalanya, tetapi dia tetap tidak dapat melupakan Lu Yihan. Malah satu-satunya sebab dia mahu ke majlis pertemuan semula sekolah mereka hanyalah untuk bertemu Lu Yihan.

Mata Yu Lili berkaca-kaca. Meskipun bersimpati kepada Yu Lili, Su Qianci tahu ia jauh lebih baik untuk mengingatkan wanita itu sekarang daripada melihatnya mati begitu sahaja nanti.

"Terima kasih, Su Qianci. Saya tahu. Ou Ming melayan saya dengan baik. Saya tidak sebodoh itu untuk kehilangan "penaja" saya ini."

"Penaja?" kedengaran suara seorang lelaki. Pintu ditolak sehingga terbuka ketika satu susuk tubuh yang tinggi muncul. "Kamu sedang cakap tentang saya?"

Next chapter