webnovel

Li Sicheng Tidak Pernah Bergurau

Editor: EndlessFantasy Translation

Su Qianci serba sedikit tahu akan tabiat memandu Li Sicheng. Jika sedang melakukan urusan perniagaan, dia tidak akan memandu sendiri. Manakala untuk urusan peribadi, dia tidak akan menggunakan pemandu, seperti sekarang. Itulah sebabnya tiada sesiapa yang tahu hal peribadinya. Su Qianci tidak ingin bertanya apa-apa dan terus menjawab, "Dia bekas kawan sekelas saya."

Li Sicheng mengangguk dan melembutkan wajahnya sedikit. "Jangan terlalu rapat dengan dia."

"Kenapa?"

Li Sicheng memusingkan kereta sambil berkata, "Lebih baik jika tidak rapat dengan perempuan yang menjual tubuhnya demi wang."

"Mustahil. Dia bukan seperti itu," kata Su Qianci tegas.

Yu Lili sentiasa positif dan gembira, dan merupakan kawan yang baik kepadanya di sekolah menengah. Dari apa yang dia ingat, Yu Lili bukan jenis perempuan yang akan menjual dirinya demi wang.

Renungan mata Li Sicheng menjadi tajam ketika dia menoleh ke arah Su Qianci. Dia kelihatan seperti ingin mengatakan sesuatu. Walau bagaimanapun, dia dengan pantas memandang kembali ke hadapan.

"Jadi, kamu kenal Ou Ming?" Su Qianci mengubah tajuk.

"Saya lebih kenal dia daripada kamu."

Dia lebih kenal Ou Ming berbanding Su Qianci? Su Qianci tiba-tiba terasa janggal.

Bagaimana? Mungkin mereka...

Menyedari wajah kebingungan Su Qianci, Li Sicheng menjelaskan, "Ou Ming kawan baik saya."

Kawan baik? Seseorang seperti Li Sicheng mempunyai kawan baik? Su Qianci terkejut dan memandang suaminya. Raut wajah lelaki itu serius dan dingin, tidak kelihatan seperti dia bergurau.

Betul, Li Sicheng tidak pernah bergurau.

Bagaimanapun, sepanjang lima tahun berkahwin dengannya dalam kehidupan lalu, dia tidak pernah tahu Li Sicheng mempunyai seorang kawan baik.

Li Sicheng menjeling ke arah Su Qianci dan melihat kekeliruan dan keraguan dalam mata isterinya itu. Dia memandang ke hadapan kembali, dan memandu dengan senyap pulang ke rumah.

Hari-hari selepas itu, tiada apa-apa yang berlaku. Lebih-lebih lagi sekarang merupakan fasa cuti musim panas, jadi Su Qianci tiada aktiviti untuk dilakukan. Dia mendaftar untuk kelas jujitsu dan pergi ke sana setiap hari. Pada tengahari Sabtu, dia mendapat satu panggilan.

"Hello, Qianqian," kedengaran suara Lu Yihan yang ceria seperti biasa.

"Ada apa, Lu?"

"Pelupa betul! Kamu tidak ingat kita berjanji untuk makan malam bersama pada hari Sabtu? Kamu ada masa malam ini?"

"Ada."

"Nampaknya kamu banyak masa lapang selepas menjadi wanita kaya. Sebelum ini saya terpaksa menunggu sehingga kamu balik kerja untuk ajak keluar. Cemburu betul rasanya!"

Su Qianci tidak dapat menahan ketawa apabila mendengar nada dramatik Lu Yihan. Dia berbaring di sofa dan berkata, "Tidak kira apa kamu cakap, saya akan pesan makanan yang paling mahal."

"Bagaimana kamu tahu saya memang cuba untuk elakkan itu terjadi? Kamu mahu makan apa? Saya akan berusaha tunaikannya."

"Bagaimana dengan gerai barbeku di depan sekolah kita?"

Lu Yihan mengeluh dan berkata, "Puan Li, kamu tidak perlu berjimat untuk saya. Terima kasih kepada kamu, saya ada banyak wang sekarang."

Seratus ribu dolar yang diberikan Su Qianci telah banyak membantu Lu Yihan. Dalam masa beberapa hari, dia berjaya menggandakan wang itu sebanyak sepuluh kali ganda.

Walau bagaimanapun, Su Qianci tidak bergurau. Dia tersenyum dan berkata, "Saya serius. Saya tidak mampu makan di situ sewaktu zaman sekolah menengah. Sekarang ada orang yang mahu belanja, jadi saya mahu mencuba makanannya."

"Okey, kita pergi ke sana. Mahu saya akan jemput kamu?"

"Tidak perlu. Saya akan pergi sendiri."

"Baiklah, jumpa nanti."

Su Qianci meletakkan panggilan dan pergi menukar pakaiannya. Nasib baik dia masih menyimpan beberapa pasang pakaian lamanya. Jika tidak, dia akan kelihatan seperti orang asing memakai pakaian mahal di gerai barbeku.

Li Sicheng tidak bertanya apa-apa sewaktu melihat Su Qianci meninggalkan rumah sambil bernyanyi perlahan. Walau bagaimanapun, Li Sicheng tidak menyangka dia akan dicurangi oleh isterinya dalam masa dua jam kemudian.

Next chapter