webnovel

Perbezaan

Editor: EndlessFantasy Translation

Dia sentiasa dianggap sebagai anak yatim. Dia membesar dengan tidak mempunyai apa-apa kecuali namanya. Apabila umurnya mencecah 18 tahun, dia telah diambil oleh pak ciknya. Pada waktu itu, barulah dia tahu bahawa dirinya berasal daripada keluarga yang terkemuka di Kingstown.

Ibunya, Su Han, mengandungkan Su Qianci di luar nikah dan telah menghilangkan diri sejak 18 tahun yang lalu tanpa apa - apa khabar berita. Tiada sesiapa yang tahu sama ada dia masih hidup ataupun tidak. Terfikirkan perkara tersebut, Puan Li kelihatan tidak gembira dan memandang Su Qianci dengan dingin.

Su Qianci tahu Puan Li tidak menyukainya, maka dia tidak memberi sebarang respon. Dia hanya melemparkan senyuman ringkas ke arah wanita-wanita yang bercakap mengenainya. Dia berjalan perlahan dan memanggil Puan Li, "Ibu".

Puan Li tidak mahu melayan gadis itu dengan baik, tetapi mereka masih berada di hadapan tetamu. Dia menyimpan rasa tidak puas hatinya dan mengangguk tanpa sebarang emosi.

"Makcik, Selamat Hari Jadi!" suara Tang Mengying kedengaran.

Semua orang memandang Tang Mengying yang memegang kotak yang besar sambil berjalan dengan senyuman lebar di wajahnya. Tang Mengying adalah seorang yang sangat cantik. Keningnya rapi dan matanya besar. Mempunyai hidung yang comel serta dagu yang runcing membuatkan dia kelihatan seperti patung dengan bibir merah jambu dan mata yang seolah-olah turut mengukir senyuman.

Sebaik sahaja melihat Tang Menying, Puan Li yang menunjukkan wajah tiada perasaan sebelum itu terus tersenyum dan berkata, "Kenapa kamu datang awal? Kamu baru sahaja balik dari Australia beberapa hari yang lepas. Kamu sepatutnya tidur disebabkan kepenatan."

Tang Mengying menjelir lidahnya dengan gaya comel dan berkata, "Saya sudah pulang sejak beberapa hari yang lepas. Inikan hari jadi makcik, saya tidak akan terlepas hanya semata-mata untuk tidur." Dia melemparkan senyuman dan berjalan ke arah Puan Li, sebelum meletakkan kotak besar itu di atas meja kopi di hadapan tetamu.

"Apa ini?"

"Saya kagum dengan Mengying yang memberikan kamu hadiah pada setiap tahun. Kami juga jirannya, tetapi Mengying tidak pernah mengambil berat seperti itu tentang kami."

"Betul, tetapi saya ingat Tang Mengying akan menjadi menantu kamu… Walaubagaimanapun..." Belum sempat Puan Zhang menghabiskan ayatnya, dia telah disiku oleh Puan Mo. Senyuman Puan Zhang hilang. Dia memandang Tang Menying dengan janggal dan tersipu, kelihatan seperti malu.

Semua orang terus memandang ke arah Su Qianci. Seolah-olah tidak mendengar apa-apa, Su Qianci memandang ke arah semua di situ dan berkata, "Biar saya sediakan buah-buahan untuk kamu semua. Silakan duduk."

"Tidak mengapa. Pembantu rumah akan lakukannya." Senyuman Puan Li kembali hilang dan berkata, "Duduk sahaja, nanti orang kata saya mendera menantu saya."

Orang bodoh pun akan mampu meneka ada sesuatu yang tidak kena.

Betul, Su Qianci merupakan anak tidak sah taraf yang tidak diketahui sapa ayahnya. Bagaimana dia boleh berkahwin dengan keluarga yang terkemuka, iaitu Keluarga Li?

Jika bukan kerana paksaan dan ugutan oleh datuk Li Sicheng, Kapten Li, tiada seorang pun dalam keluarga Li yang akan bersetuju dengan perkahwinan tersebut. Pada mata Puan Li, tiada satu perkara pun mengenai Su Qianci sama ada pembelajaran atau keluarganya yang setanding dengan anak lelakinya.

Perlahan-lahan Su Qianci duduk di tempat yang berjauhan dengan Puan Li.

Dalam kehidupannya yang lalu, dia tidak berfikir panjang dan duduk di sebelah Puan Li.

Walaubagaimanapun, dia dihalau dengan kasar yang menyebabkan dia berasa malu dan turut diejek dengan hina oleh Tang Mengying.

Melihat Su Qianci tahu kedudukannya, kemarahan Puan Li menjadi kurang. Dia terus mengalihkan pandangannya dan melihat kotak besar yang dibawa oleh Tang Mengying lalu tersenyum gembira. "Apa yang kamu bawakan untuk makcik kali ini, Tang Mengying? Hadiah kamu tidak pernah mengecewakan."

Next chapter