Zhao Ruge tak pernah bau aroma wain sesedap itu. Dia nampaknya sudah melupakan terus rasa Wain Nektar Berhias Permata yang dipuji-puji tu.
Xiao Xiaolong mengoyakkan kain penutup balang wain dan menuang cecair jernih itu ke dalam cawan. Aroma wain itu menusuk jiwanya dan memabukkan.
Dia mengangkat cawan wain itu ke hidungnya dan sambil dia menghidu aroma, wajahnya begitu mengasyikkan. Bagi seorang pencinta wain, secawan wain yang berkualiti ibarat wanita yang paling cantik di dunia. Mereka akan memberi tumpuan sepenuhnya untuk menikmati rasa wain itu.
Cecair yang masuk ke mulut Xiao Xiaolong itu terasa seperti kristal ais yang mengusap lidah dan mengalir turun dalam tekaknya dan masuk ke dalam perut. Kedinginan wain itu menyebabkan bulu romanya meremang.
Tak lama selepas wain itu masuk ke dalam perutnya, dia terasa seperti badannya terbakar. Kehangatannya dirasai sehingga ke dalam perut dan Xiao Xiaolong lemas dalam penyatuan sensasi ais dan api.
"Oh~" Wajah Xiao Xiaolong kemerah-merahan dan dia mengerang tanpa sedar hanya selepas satu hirup.
"Hebat sungguh wain ini! Sangat hebat!" Xiao Xiaolong berkali-kali memujinya. Dia menghabiskan baki wain dalam cawan itu dan matanya mengecil kerana seronok.
Bila tiga orang gasar keluarga Ouyang nampak kelakuan Xiao Xiaolong, mereka tak mampu menahan diri lagi. Ketiga-tiga mereka menuang cawan wain masing-masing dan menikmati wain itu.
Mata mereka membulat kerana terkejut mereka rasa satu kegembiraan yang tak pernah dirasakan sebelum ini.
Ketiga-tiga mereka tak terkata apa-apa dan mereka hanya menumpukan perhatian untuk menikmati wain itu. Mereka tenggelam sepenuhnya dalam kematangan rasa Wain Jed Penyejuk Hati.
Lelaki misteri bertopi buluh itu tersenyum kecil sambil melihat reaksi mereka. Dia membuka topi buluhnya dan memperlihatkan wajah tampannya bak marmar yang diukir.
Dia pun menikmati itu dengan penuh rasa kepuasan pada wajahnya.
"Sedap sungguh ke… wain itu?" Zhao Ruge berasa sangsi. Walaupun dia semakin rasa tak yakin selepas menghidu aroma wain itu, dia masih mengharap yang mereka hanya berlakon saja disebabkan pertaruhan itu.
"Mereka sengaja berpura-pura…" Zhao Ruge makin hilang keyakinan.
Kalau dia belum pernah rasa masakan Bu Fang, dia mungkin lebih yakin. Tapi, disebabkan Tulang Rusuk Masam Manis itu, dia tahu yang Bu Fang mempunyai kemahiran memasak yang hebat.
"Xiaolong, tuangkan satu cawan untuk Tuan Muda Zhao dan secawan untuk Kakak." Xiao Yanyu berkata dengan lembut.
Xiao Xiaolong agak terkejut sambil dia kembali sedar daripada rasa mabuk, tapi dia terpaksa akur dengan kakaknya walaupun tak rela. Wain itu pun cukup-cukup untuk dirinya sendiri tapi sekarang dia terpaksa berkongsi dengan si pondan, Zhao Ruge… Rugi besar!
Ketiga-tiga orang gasar keluarga Ouyang itu minum dengan laju dan sekelip mata satu balang itu dihabiskan. Ouyang Di cuba menggoncangkan balang dengan harapan ada titisan terakhir wain.
Disebabkan wain mereka sudah habis licin, mereka memandang balang wain Xiao Xiaolong dengan muka sedih.
Xiao Xiaolong merenung ke arah mereka bertiga sambil memeluk balang wainnya. Dia menuang secawan untuk kakaknya dan secawan untuk Zhao Ruge sambil berkata, "Si Pondan Zhao, selepas minum wain ini, kau patut mengaku kalah saja dan berikan Pil Pengumpul Tenaga Semangat pada kakak aku. Disebabkan kau setuju bertaruh, kau patut mengaku kalah!"
"Aku, aku belum kalah lagi…" Suara Zhao Ruge semakin lemah. Dia sudah rasa pening melihat wain jernih dalam cawan itu. Dia kemudiannya mengangkat cawan ke mulutnya dan mula menghirupnya.
Xiao Yanyu pun menghirup sedikit wain itu sambil melindung wajahnya dengan tangan.
Bila wain itu masuk ke dalam badannya, kulit Xiao Yanyu yang lebih cerah daripada salju itu terus menjadi kemerah-merahan. Pipinya pun sama. Yang pasti dia nampak sangat comel.
Zhao Ruge tak terkata apa-apa. Selepas merasai Wain Jed Penyejuk Hati, Wain Nektar Berhias Permata itu hanya rasa seperti air kosong. Kedua-dua wain itu terlalu berbeza.
Wain Jed Penyejuk Hati sememangnya wain nombor satu dalam Empayar Bayu.
Selepas menghabiskan wainnya, wajah Zhao Ruge berubah sugul. Dia tahu yang dia sudah kalah pertaruhan itu.
Dia tak ada pilihan selain daripada menyerahkan Pil Pengumpul Tenaga Semangat kelas kelima itu.
Dia sebenarnya bercadang menggunakan Pil Pengumpul Tenaga Semangat itu untuk capai Semangat Pertempuran kelas keempat. Namun, dia tak sangka yang dia akan kehilangannya. Tanpa pil itu, dia semakin jauh daripada penemuan barunya.
Xiao Yanyu yang cantik itu tersenyum kecil sambil menerima botol jed daripada Zhao Ruge. "Tuan Muda Zhao janganlah bersedih. Walaupun kamu sudah kehilangan Pil Pengumpul Tenaga Semangat, kamu dapat makan Tulang Rusuk Masam Manis Tauke Bu. Tak rugi pun."
Tak rugi? Kenapa pula tak rugi? Tulang Rusuk Masam Manis tu hanya memuaskan lidahnya, tapi Pil Pengumpul Tenaga Semangat itu dapat memajukan pencapaian tahap pertapanya. Bila dibandingkan kedua-duanya, memang dia rugi besar! Melainkan kalau… Tulang Rusuk Masam Manis Tauke Bu dapat bantu dia capai penempuan baru. Tapi… tak mungkin ia boleh berlaku.
Zhao Ruge berpatah hati sampai dia rasa sesak nafas dan wajahnya bertukar hodoh.
Xiao Yanyu hanya tersenyum. Tak mungkin Tulang Rusuk Masam Manis itu berharga lima puluh kristal hanya kerana rasanya sedap. Kalau Nasi Goreng Telur Tahap Tinggi pun boleh tingkatkan daya tulen dalam badan, Tulang Rusuk Masam Manis pasti lebih berkesan. Zhao Ruge akan dapat merasainya nanti.
Bila masanya tiba, Zhao Ruge akan memahami kebolehan sebenar Tauke Bu.
Pada masa yang sama, Xiao Xiaolong pun sudah habiskan Wain Jed Penyejuk Hatinya. Dia sudah agak mabuk dan mukanya kemerah-merahan macam perempuan.
Ketiga-tiga orang gasar keluarga Ouyang masih sama. Walaupun Wain Jed Penyejuk Hati itu rasa matang, pencapaian tahap pertapa mereka tinggi dan mereka memang pandai minum. Jadi, reaksi mereka tak seperti Xiao Xiaolong.
Bada!
Bunyi cawan jatuh ke lantai itu tak berapa kuat tapi cukup untuk mengejutkan semua orang.
Mereka memandang ke arah bunyi itu; Xiao Yanyu.
Wajah Xiao Yanyu pada mulanya ayu tapi kini berubah ganas dan suram. Pandangannya tertumpu kepada susuk tubuh yang tak jauh daripadanya.
Xiao Xiaolong tak begitu mabuk. Jadi, bila dia nampak ekspresi kakaknya, rasa mabuknya semakin hilang. Dia turut memandang ke arah susuk tubuh di meja berhampiran pintu masuk itu.
Wajah elegan dan menawan bak marmar diukir itu…
"Kau rupanya!" Xiao Xiaolong menjegilkan matanya sambil dia berteriak.
Bu Fang yang sedang berehat begitu terperanjat melihat Xiao Xiaolong. Dia tak faham kenapa si pondan itu tiba-tiba marah.
"Kenapa dengan aku?" Suara garau seperti kertas pasir itu kedengaran dan bunyinya agak dingin.
Zhao Ruge dan lain-lain terus pening bila melihat wajah tampan itu. Ekspresi mereka berubah dan penuh rasa tak percaya.
"Berani kau muncul dalam pusat bandar ni… Kau tak takut ke Ayah tahu lokasi kau?"
"Abang kesayanganku." Xiao Yanyu berkata dingin. Suaranya yang merdu itu bunyi menakutkan seperti ingin membunuh.
Xiao Xiaolong bingkas bangun kerana tak tahan lagi dan daya tulen meletus keluar dari badannya.
"Raja Pedang Xiao Yue pematah hati! Berani dia muncul dalam bandar Diraja… Dia nak mati ke?!" Zhao Ruge dan lain-lain berasa sangat hairan.
Xiao Yue, anak sulung Xiao Meng, mempunyai bakat luar biasa. Semasa dia berumur sepuluh tahun, dia sudah pun mencapai kelas pertama dan setahun kemudian, dia mencapai kelas kedua. Dia berjaya mempamerkan daya tulen pada umur tiga belas tahun dan mencapai Semangat Pertempuran pada umur lima belas tahun. Dia menjadi Raja Pertempuran kelas kelima termuda dalam sejarah, pada umur lapan belas tahun. Masa depannya sangat cerah.
Namun, satu tragedi melanda tiga tahun lalu bila Xiao Yue terpesona dengan seni pedang dan menyertai Astaka Pedang Void. untuk menjadi mahaguru semangat pedang Astaka Pedang Void, dia mempersembahkan darah jantung ibunya. Dengan satu tusukan pedang, dia menyebabkan ibunya koma dan masih belum sedar sehingga hari ini.
Xiao Yue kemudiannya dipukul Xiao Meng sampaikan dia muntah darah dan daya tulen dalam badannya hilang. Akhirnya, dia diselamatkan tiga orang tua Astaka Pedang Void. Sejak itu, Xiao Yue meninggalkan keluarga Xiao dan menjadi musuh utama mereka.
Xiao Yanyu dan Xiao Xiaolong tak akan dapat lupakan saat ibu mereka jatuh pengsan. Percikan darah ibu mereka itu menjadi tanda kebencian mereka terhadap Xiao Yue.
Mulai dari saat itu, Xiao Yue bukan lagi abang kesayangan yang mereka hormati.