webnovel

Zhao Ruge Tertawan dengan Tulang Rusuk Masam Manis

Editor: EndlessFantasy Translation

"Berani sungguh!" Anak mata Zhao Ruge mengecil sambil tapak tangannya menepuk meja dan dia menjerit marah.

Meja itu bergegar dan memeranjatkan semua orang di situ. Mereka pun rasa yang lelaki misteri tu berlagak sombong.

Siapa itu Menteri Kiri? Sebagai pegawai penting dalam bandar Diraja, statusnya setanding Jeneral Xiao Meng. Namun begitu, nada suara lelaki itu penuh benci terhadap Menteri Kiri. Tak pasti sama ada dia memang sangat yakin dengan dirinya atau dia berlagak sombong.

Mata Zhao Ruge bersinar sambil auranya meningkat mendadak. Aliran tenaganya bergerak seperti pepijat yang meniti di atas kulit sambil dia mengumpul daya tulennya.

"Kau ni bisinglah! Ini tempat Tauke Bu, jadi makanlah dengan tenang. Kalau nak bergaduh, tolong keluar." Lelaki misteri itu berkata acuh tak acuh. Dia langsung tak endahkan Zhao Ruge yang sedang mengumpul auranya itu.

Selepas lelaki itu habis bercakap, dia mengepit ibu jari dan jari telunjuknya seperti hendak menjentik lalat.

Buzz!

Tiga orang gasar keluarga Ouyang yang duduk agak jauh itu terus berdiri di depan Ouyang Xiaoyi. Bulu roma mereka meremang sambil mereka memandang lelaki misteri itu.

Anak mata Xiao Yanyu mengecil sambil dia mengumpul daya tulen dalam badannya separa sedar.

Chi chi!!

Dengan satu jentikan, satu aliran tenaga halimunan meletus keluar. Badan Zhao Ruge kaku seketika, dan aura yang mengelilinginya mula hilang seperti belon yang mengecut.

Dia kemudiannya jatuh tersembam ke tanah dengan bunyi mengerang…

Zhao Ruge kebingungan sambil seluruh badannya menggigil dan bibirnya menggeletar. Ia sangat menakutkan… Dalam sekelip mata, Zhao Ruge merasakan yang dia akan mati.

Ada satu titik merah muncul di dahinya dan dengan pantas seluruh dahinya menjadi merah.

"Kalau bukan sebab kita berada dalam restoran Tauke Bu, kau dah lama jadi mayat." Lelaki misteri itu berkata acuh tak acuh sambil dia menarik semula tangannya dan kembali senyap.

Suasana dalam restoran itu berubah menjadi dingin dan semua orang menahan nafas mereka.

Ekspresi wajah Zhao Ruge begitu hodoh sambil dia bangun dan kembali duduk di tempatnya dengan senyap.

Tiga orang gasar keluarga Ouyang menarik jauh Ouyang Xiaoyi dalam jarak selamat. Daripada serangan menakutkan lelaki misteri itu, mereka dapat rasa dia sekurang-kurangnya Raja Pertempuran kelas kelima.

Namun, itu hanya anggaran kasar mereka. Lagipun, Zhao Ruge adalah Maniak Pertempuran kelas ketiga yang hampir menjadi Semangat Pertempuran kelas keempat. Raja Pertempuran biasa pun agak susah untuk bunuh dia dalam sekelip mata. Jadi, lelaki ini mungkin Maharaja Pertempuran kelas keenam!

Sambil suasana kaku dalam restoran itu berterusan, haruman yang kaya meresap keluar dari dapur.

"Nasi Goreng Telur Tahap Tinggi siap." Suara Bu Fang yang tak berperasaan itu kedengaran dari dapur. Semangkuk Nasi Goreng Telur yang bersinar keemasan diletakkan di tingkap.

Ouyang Xiaoyi bersegera mengambil hidangan itu.

Haruman kaya yang penuh kehangatan itu menghilangkan suasana dingin dalam restoran. Aroma yang sedap itu seperti sekeping sutera yang membelai muka dan menguji perasaan mereka.

"Sedapnya bau!" Sambil Zhao Ruge menghidu haruman itu, dia merasakan lebam di dahinya seperti semakin surut.

Xiao Xiaolong menerima Nasi Goreng Telur itu dengan gembiranya sambil memegang sudu porselin biru putih dan mula menyuap dengan lahapnya.

Zhao Ruge menelan air liur. Dia tak pernah rasa Nasi Goreng Telur itu, tapi perutnya berkeroncong hanya disebabkan aroma itu.

Xiao Xiaolong makan dengan lahapnya sampai terlekat butir nasi di hujung mulutnya. Bila dia rasa ada mata memandang, dia tersengih pada Zhao Ruge dan bertanya, "Kau nak cuba?"

Zhao Ruge memandangnya dan mengangguk kecil.

"Kalau nak cuba, belilah sendiri lain kali." Xiao Xiaolong menjelirkan lidah dan menjilat butir nasi di hujung mulutnya sambil mengejek.

Zhao Ruge terus kaku dan matanya penuh rasa marah sambil dia berfikir, 'Berani dia kenakan aku!'

"Shumai Keemasan siap." Suara acuh tak acuh Bu Fang kedengaran lagi.

Seterusnya, Ouyang Xiaoyi menghidangkan Shumai Keemasan kepada Xiao Yanyu. Shumai Keemasan yang cantik itu nampak seperti hasil seni yang halus dan terang seperti sinaran keemasan.

Sambil Xiao Yanyu mengambil shumai dengan penyepit, supnya meresap keluar dan memberikan haruman yang menarik.

Sebelum sempat sup itu menitik dari dalam shumai, Xiao Yanyu dengan segera menyuapnya. Bibir lembutnya menjadi lebih menarik bila disaluti minyak.

Mata Zhao Ruge hampir kebingungan. Walaupun kurang jelas sama ada dia sedang melihat wanita cantik atau memandang makanan sedap, yang pasti dia menikmati pemandangan itu.

Selepas itu, masa hidangan siap semakin pendek.

Ikan Perap Bijian Wain Beras pun siap dihidang. Disebabkan hidangan itu terlalu berat untuk Xiaoyi, Bu Fang terpaksa menghantarnya sendiri. Bila dia masuk ke ruang makan, dia terkejut melihat lelaki misteri bertopi buluh itu.

Lelaki misteri itu menganggukkan kepala ke arah Bu Fang dan dia mengangguk kembali tanpa perasaan.

Bila Ikan Perap Bijian Wain Beras terhidang, aroma kaya wain itu hampir mengatasi haruman hidangan lain. Mata lelaki misteri itu pun bersinar sedikit sambil dia memandang lama ke arah Ikan Perap Bijian Wain Beras.

"Nampak gayanya macam sedap." Fikir lelaki itu. "Aku tak sedar yang selain wain bergred tinggi, hidangan Tauke Bu pun berkualiti tinggi juga."

"Tulang Rusuk Masam Manis siap." Tak lama selepas dia kembali ke dapur, suara Bu Fang kedengaran lagi.

Ouyang Xiaoyi sudah tak sabar menunggu di tingkap. Dia teringin melihat hidangan baru Bu Fang.

Bila Tulang Rusuk Masam Manis yang harum dan berwarna oren itu muncul di depan Ouyang Xiaoyi, dia sangat terperanjat. Baunya saja pun sudah buat dia telan air liurnya yang hampir meleleh.

Aromanya sangat kuat! Haruman masam manis menguji kesabaran loli kecil itu.

Sayangnya… orang yang memesan hidangan itu ialah si pondan, Zhao Ruge!

Sambil dia menghidang makanan dengan perasaan tak rela, Zhao Ruge sudah pun bersedia dengan penyepit buluh sambil meleleh air liur. Aroma Tulang Rusuk Masam Manis itu begitu harum sampai dia rasa tak tertahan lagi.

Bila dia menyuap sekeping tulang rusuk ke dalam mulutnya, rasa masam manis itu meletus. Rasa kaya daging itu memenuhi deria rasanya dan menyerang mulutnya. Tulang rusuk itu masih panas dan dia tercungap-cungap sambil makan.

Haruman daging yang kaya itu meresap ke seluruh restoran.

Xiao Xiaolong pun berhenti makan dan Xiao Yanyu memandang ke arah Zhao Ruge.. Memang sangat harum!

Zhao Ruge rasa sangat gembira hingga dia hampir menitiskan air mata. Ia sangat sedap. Berbaloi dia berbelanja lima puluh kristal!

Dengan pantas dia menyuap sekeping lagi tulang rusuk sambil Ouyang Xiaoyi memandang dengan rasa cemburu. Sos masam manis itu merecik dan meninggalkan kesan di hujung mulutnya. Zhao Ruge tercungap-cungap sambil dia makan.

Pada masa itu, Bu Fang keluar dari dapur. Semua hidangan sudah siap dimasak dan hanya tinggal Wain Jed Penyejuk Hati.

Dia membawa keluar dua balang Wain Jed Penyejuk Hati dan meletakkannya di depan Xiao Xiaolong dan tiga orang gasar keluarga Ouyang. Dia kemudian kembali ke dapur dan mengambil satu lagi balang untuk dihidangkan pada lelaki misteri itu.

"Ini Wain Jed Penyejuk Hati kamu. Selamat menikmati minuman ini." Bu Fang berkata tanpa perasaan.

"Hah… Tauke… Adakah… wain kamu lagi sedap dari… Wain Nektar Berhias Permata?" Zhao Ruge bertanya dengan penuh ragu-ragu. Dia masih mengunyah tulang rusuk dengan haba yang keluar dari mulutnya.

"Saya sudah kata… Wain Nektar Berhias Permata tu tak sedap. Kamu hanya perlu rasa wain saya dan kamu akan tahu." Kata Bu Fang.

Suara garau lelaki misteri itu pun kedengaran, "Wain Nektar Berhias Permata itu tak setanding pun Wain Jed Penyejuk Hati Tauke Bu. Wain nombor satu dalam Empayar Bayu sememangnya Wain Jed Penyejuk Hati Tauke Bu."

Selepas lelaki itu habis berkata-kata, dia membuka penutup kain balang wain itu. Dengan segera, aroma wain yang kaya dan matang memenuhi ruang restoran.

Aroma wain itu sangat matang dan pekat. Hilang terus aroma Ikan Perap Bijian Wain Beras dan semua orang dalam tempat itu tertarik.

Wajah Ouyang Xiaoyi dan Xiao Yanyu berubah kemerah-merahan.

Melalui aromanya pun boleh tahu yang Wain Nektar Berhias Permata sudah kalah.

Rasanya pula… Xiao Xiaolong dan tiga orang gasar keluarga Ouyang sudah tak sabar menikmatinya. 

Next chapter